
Gambar Hiasan
SIBU: Seorang lelaki dirompak oleh dua orang lelaki bersenjatakan pisau ketika dia sedang membuang air kecil di tepi jalan bertentangan tanah perkuburan, Jalan Bukit Lima di sini. Lebih malang wang tunai berjumlah RM13,000 yang dibawa mangsa dan menjadi habuan dua perompak, bukan miliknya.
Dalam laporannya pengadu berumur dalam lingkungan 30-an itu berkata dia baharu sahaja pulang selepas berhibur di sebuah kelab di Jalan Lanang, di sini sekitar jam 11 malam.
Ketika dalam perjalanan pulang melalui Jalan Bukit Lima, pengadu terasa mahu membuang air kecil memaksanya berhenti di depan tanah perkuburan Cina di situ.
Menurutnya, dia didatangi dua lelaki yang tidak dikenali dan mendekatinya. Salah seorang daripada lelaki berkenaan mengeluarkan pisau dan mengarahkannya mengeluarkan semua barang yang ada dalam simpanannya.
Bimbang nyawanya terancam, mangsa terpaksa mengeluarkan dompet termasuk wang tunai milik seorang rakannya yang berjumlah RM13,000. Dua perompak tersebut kemudiannya memecut lari menaiki sebuah motosikal meninggalkan mangsa.
Difahamkan mangsa pergi ke Balai Polis Lanang sejurus selepas kejadian tersebut. Rakan mangsa yang turut dimaklumkan mengenai kejadian tersebut juga pergi ke balai untuk membuat laporan berasingan.
Kes tersebut masih dalam siasatan polis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan