Ahad, 5 Januari 2014

Asmaelz Hadzeny II Mohon Maaf Kepada Rakyat Malaysia


KUCHING: Pemilik akaun Facebook, Asmaelz Hadzeny II memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kenyataan berbaur hasutan mengajak orang ramai menyertai perhimpunan menggulingkan kerajaan, baru-baru ini.

Menurutnya, dia tidak didorong oleh mana-mana pihak ketika mengeluarkan kenyataan tersebut dan mengaku berbuat demikian sekadar untuk ‘suka-suka’ sekali gus membawa kepada penyesalan selepas dia ditahan pada 26 Disember lalu.

“Saya insaf dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kenakalan saya dalam mengeluarkan kenyataan sedemikian terutamanya kenyataan yang menghina kewibawaan polis. Untuk makluman juga, saya pada mulanya hanya ‘suka-suka’ mengeluarkan kenyataan sedemikian tanpa terfikir akan kesudahannya. Saya juga tidak didorong oleh mana-mana pihak ketika mengeluarkan kenyataan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, malam kelmarin.

Difahamkan, dia ditahan selepas dikesan menulis kenyataan menghasut orang ramai melakukan rusuhan bagi menggulingkan kerajaan pada 31 Disember lalu menerusi akaun Facebooknya.

Justeru, pada 26 Disember lalu sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman menahan Asmaelz Hadzeny II di Saratok sekitar jam 11 pagi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Hadi Ho Abdullah dalam satu kenyataannya berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan iaitu cubaan melakukan sesuatu aktiviti menjejaskan demo-krasi berparlimen.

Lelaki berusia 25 tahun itu bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin polis selepas ditahan reman selama lima hari di Balai Polis Bukit Aman bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan