Beberapa anggota polis dari Balai Polis Sungai Merah mengusung mayat mangsa
SIBU: Seorang lelaki ditemui mati tergantung di luar beranda rumah teres dua tingkat di 6B Lorong 15, Jalan Rajang Park di sini, petang semalam.
Difahamkan mangsa yang dikenali sebagai Sii Tuong Ing, 62, dipercayai membunuh diri dengan menggunakan kabel untuk menggantung diri.
Isteri mangsa, seorang pembantu kedai di sebuah kopitiam di Sungai Antu di sini bergegas pulang ke rumah mengayuh basikal selepas dimaklumkan oleh saudara maranya.
Pihak polis yang tiba di tempat kejadian pada jam 2.30 petang telah menjalankan siasatan, namun punca mangsa membunuh diri tidak dapat dipastikan.
Jiran sebelah juga tidak tahu mengenai insiden tersebut sehingga mereka dimaklumkan oleh para pemberita yang membuat laporan.
Menurut jiran sebelah, mangsa tinggal bersama seorang isterinya dan mempunyai empat orang anak iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki. Kata jiran berkenaan, kesemua anak mangsa tidak tinggal bersama ibu bapa mereka dan ada di antara mereka bekerja di Miri dan Singapura. Difahamkan, mangsa juga ada mengalami masalah mental sebelum kematiannya.
Mangsa dilihat memakai baju warna kuning dan berseluar pendek sudah terkulai dan tidak bernyawa ketika pihak polis tiba di rumah tersebut. Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sibu untuk dibesah siasat.
Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - UTUSAN BORNEO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan