Isnin, 20 Januari 2014

Mayat Keempat Mangsa Bot Karam Di Batang Lassa Ditemui

Jenazah ditempatkan sementara di surau Kampung Kut sebelum dibawa ke Hospital Daro

DARO: Operasi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa yang hilang dalam insiden bot karam di Kampung Kut, Batang Lassa di sini semalam menemui mayat seorang lagi mangsa pada kira-kira jam 3 petang.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai Norsiah Abdullah, 40, dijumpai pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada penduduk Kampung Kut diketuai Sopian Mohsen dengan empat penduduk kampung. Mayat mangsa dijumpai terapung kira-kira 15 meter dari tebing jeti di tengah Kampung Kut.

“Saya melihat sesuatu yang terapung di permukaan air dari tebing lalu kami bergegas ke objek tersebut. Setelah kami sampai ke objek tersebut saya cuba membalik objek tersebut untuk memastikan sama ada ia mangsa atau tidak dan apabila saya membalikkan objek tersebut ia adalah mangsa yang hilang tersebut,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Jenazah Norsiah kemudiannya dibawa ke Hospital Daro untuk tindakan selanjutnya.

Operasi mencari dan menyelamat semalam ditangguhkan pada kira-kira jam 6 petang selepas mengambil kira faktor cuaca dan keadaan sungai yang bergelora.

Bagaimanapun bot penyelamat bomba diletakkan dalam keadaan bersedia jika ada sebarang kemungkinan mangsa terbaharu dijumpai selepas itu.

Hujan dan laut bergelora memberi cabaran kepada pasukan mencari dan menyelamat baki tujuh lagi mangsa bot panjang yang hilang akibat terbalik dan karam ketika dalam perjalanan balik dari Kampung Saai ke rumah mereka di Kampung Tekajong.

Bot panjang menggunakan dua enjin sangkut 40 kuasa kuda itu terbalik selepas dipukul ombak besar ketika rombongan itu baharu sahaja selesai menghadiri majlis perkahwinan.

Tujuh mangsa yang masih hilang dalam insiden berlaku di muara Batang Lassa itu ialah Borhan Burdai (65 tahun), Riji Dalol (60), Mahdani Akim (55), Naibi Saibi (60), Kalsum Mat (50), Iboong Rais (60) dan Abu Bakar Malik (62).

Tiga mangsa yang dijumpai sejurus bot mereka karam ialah Melati Jerai (51), Sekiah Kifli (49) dan Merah Murni (55).

Kesemua jenazah mangsa yang merupakan semuanya wanita itu diterbangkan menggunakan helikopter Nuri dari Daro ke Kampung Tekajong untuk dikebumikan pada tengah hari semalam.

Manakala 16 lagi mangsa dalam bot panjang membawa 27 penumpang itu yang dihantar untuk rawatan di Hospital Daro petang kelmarin difahamkan telah dibenarkan keluar.

Dalam pada itu, kekuatan anggota penyelamat yang turut sama-sama mencari mangsa hilang ialah 139 anggota yang melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Unit Udara PDRM, JPAM, RELA, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), Bomba Sukarela Daro, hospital dan penduduk kampung.

Antara bot yang digunakan oleh anggota penyelamat Kevlar (satu), bot penyelamat bomba (empat), bot penyelamat PDRM (dua), bot penyelamat JPAM (satu), bot LSS (satu) dan bot penduduk kampung (35).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Matu-Daro yang bertindak sebagai komander operasi, DSP Wagner Lisa Libut berkata cuaca pada hari kedua tidak berapa mengizinkan akibat hujan dan laut bergelora.

“Semua anggota keselamatan telah dikerah untuk menamatkan operasi sekitar jam 6 petang ini (semalam) dan akan memulakan operasi semula pada jam 7 pagi esok (hari ini),” katanya ketika ditemui di pusat operasi di Kampung Saai.

Antara yang turut membantu operasi itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Abdullah Saidol.

Kelmarin, selepas dimaklumkan insiden yang membabitkan penduduk kawasannya, Abdullah terus bergegas dari Kuching ke Hospital Daro untuk bertemu dengan mangsa-mangsa dan ahli keluarga mereka.

Beliau turut meluangkan masa menziarahi ahli-ahli keluarga mangsa yang terkorban di Kampung Tekajong semalam.

“Mereka memilih untuk menggunakan bot sebagai pengangkutan mereka kerana pengangkutan darat yang ada amatlah sukar kerana jalan ladang rosak teruk dan jauh. Saya banyak kali membangkitkan tentang keperluan sistem perhubungan jalan raya berpatutan untuk masyarakat Pulau Bruit tapi apa yang diberi kerajaan buat masa ini ialah jalan simen yang kecil dan kualiti binaannya mengecewakan,” katanya.

Beliau meminta kerajaan pusat memberi perhatian serius tentang pembinaan jalan raya di kawasan Pulau Bruit.

“Warga pedalaman dalam pilihan raya lepas sekali lagi menunjukkan kesetiaan mereka kepada kerajaan.“Kepada kerajaan persekutuan tolonglah balas kesetiaan sokongan warga desa dengan peruntukan lebih untuk pelbagai(penyediaan) keperluan kemudahan asas,” katanya.

1 ulasan: