Isnin, 6 Januari 2014

Buaya Naik Ke Darat Baham Itik

Gambar Hiasan

LIMBANG: Seorang penduduk Kampung Bukit Kota melalui empat pengalaman menakutkan apabila berdepan seekor buaya naik ke darat membaham itik ternakannya termasuk kejadian terbaharu ketika air pasang besar di sini awal pagi Jumaat lalu.

Budiman Ratnawi, 50-an, berkata, buaya berwarna hitam sepanjang lapan kaki dan selebar kira-kira satu meter itu sempat bolos selepas membaham seekor itik peliharaannya sekitar jam 3 pagi hari berkenaan.

“Sebaik mendengar bunyi bising, saya segera keluar rumah untuk melihat itik-itik peliharaan. Alangkah terkejutnya apabila mendapati seekor buaya hitam yang berada dalam parit berhampiran kandang itik saya sedang ‘berselera’ membaham seekor itik,” katanya ditemui di kediamannya di sini semalam.

Budiman yang merupakan peminat haiwan peliharaan termasuk memelihara burung tiong dan ‘hamster’ menjelaskan, dia sempat membawa sebatang buluh untuk mengusir buaya berkenaan dan menggigit pukat yang menjadi penghadang kandang itiknya.

“Siapa sangka buaya sebesar itu boleh merangkak naik ke darat mencari makanan termasuk haiwan peliharaan saya,” katanya yang menternak lebih 80 ekor itik di bawah rumahnya.

Dia menjelaskan, sebelum ini buaya terbabit juga kerap bertandang di kawasan berkenaan termasuk berada di bawah ‘surau kecil’ yang menjadi tempat mereka sekeluarga mengerjakan solat.

“Buaya terbabit sudah dua kali ‘lepak’ di bawah surau kami pada tengah malam Selasa dan Rabu lalu. Saya sempat mengusir menggunakan buluh menyebabkan buaya tersebut meloloskan diri. Selain di bawah surau, buaya tersebut juga sudah dua kali naik ke darat mengintai itik peliharaan saya menyebabkan kami sekeluarga terpaksa berhati-hati,” ujarnya sambil menunjukkan pukat yang dikoyakkan buaya berkenaan yang sudah dijahitnya menggunakan tali.

Budiman yang juga seorang peniaga barangan antik sejak 20 tahun lalu di sini menjelaskan, sebelum ini tidak pernah berlaku kejadian buaya naik ke darat sehinggalah dia sekeluarga berdepan pengalaman menakutkan itu.

Beliau juga berharap pihak berkaitan turun padang mengambil langkah segera sama ada menangkap buaya tersebut yang kebelakangan ini sering bersantai di kawasan sungai kampung terbabit.

Seorang lagi penduduk, Miming, 15, berkata, dia sekeluarga juga melalui pengalaman sama apabila menyaksikan buaya tersebut ‘bersantai’ di kawasan semak berhadapan rumah.

“Kejadian itu disaksikan pada malam hari dan buaya itu memang besar dan kami percaya ia lebih daripada seekor,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan