Ahad, 5 Januari 2014

Nelayan Terkejut Kail Dilahap Buaya

Seekor buaya dianggarkan panjang tujuh kaki termakan pancing seorang nelayan sungai

MATU: Seorang nelayan sungai di sini terkejut apabila kail yang dipasangnya untuk menangkap ikan pada musim tengkujuh ini telah dilahap seekor buaya sepanjang tujuh kaki.

Pemancing, Zainal Abidin berkata pada mulanya dia menyangka kailnya mendapat seekor ikan besar tetapi sebaik sahaja berjaya diangkat ternyata umpan kailnya dimakan seekor buaya.

“Saya tidak menyangka bahawa Sungai Jemoreng yang selama ini dianggap selamat kini mempunyai penghuni yang terkenal dengan keganasannya.

“Kejadian ini juga pertama kali berlaku. Buaya terbabit meronta-ronta dengan agak kuat untuk melepaskan diri. Saya yang dibantu oleh seorang anak lelaki saya mengambil masa lebih kurang setengah jam untuk mendaratkannya sebelum dilepaskan.

“Buaya terbabit telah saya lepaskan kembali ke sungai berkenaan setelah mata kail yang tersangkut pada mulutnya berjaya kami dua beranak tanggalkan,” katanya ditemui di sini petang kelmarin. Ia juga penemuan pertama sejak daerah ini dilanda banjir sejak beberapa hari lalu. - UTUSAN BORNEO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan