Ahad, 5 Januari 2014

Polis Berjaya Merungkai Kes Pembunuhan Britney

Suspek diiringi sepasukan polis mencari bahan bukti

SIBU: Polis berjaya merungkai kes pembunuhan Britney Clement, 10, ditemui mati lemas di Rumah Belinsin Ubong, Sungai Naman, Durin dengan penangkapan seorang pengawal keselamatan dikatakan menghumban mangsa ke dalam parit pada malam ambang tahun baharu.

Ketua Polis Daerah (KPD) Sibu, Mohd Kamal Kordi mengesahkan kes tersebut kini dianggap selesai dalam tempoh 24 jam sejak siasatan dijalankan.

Seorang suspek lelaki berumur 50 tahun yang juga abang ipar kepada bapa mangsa telah pun membuat pengakuan selepas penahanannya.

Suspek yang direman tujuh hari bermula semalam dibawa ke lokasi kejadian oleh pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah di sini untuk mengumpul bahan bukti kes.

Polis tiba di lokasi kejadian sekitar 1 petang semalam, berjaya menjumpai seluar dalam berwarna biru dan seluar pendek milik suspek untuk dijadikan sebagai bahan bukti.

Sehelai rambut panjang juga ditemui terlekat pada seluar pendek suspek juga diambil dan akan dibawa ke makmal untuk ujian DNA.

Menurut sumber, perhubungan mangsa dengan suspek dikatakan memang akrab sejak kebelakangan ini.

Pada malam kejadian sekitar jam 10 malam, mangsa dikatakan menghantar seorang sepupu lelakinya berumur 20 tahun pulang ke rumahnya terletak 30 meter dari rumah panjang berkenaan.

Menurut sumber, bapa saudara (suspek) yang menunggu mangsa di depan rumah sepupunya dikatakan menahan mangsa ketika dia berseorangan dalam perjalanan pulang ke rumah.

Suspek dikatakan cuba mendakap mangsa secara paksa membuat Britney cuba melepaskan diri.

Ketika bergelut dengan mangsa, suspek dipercayai bertindak menampar muka Britney.

Suspek kemudiannya mengangkat Britney ke kawasan ladang getah kira-kira lebih 150 meter daripada rumah panjang berkenaan.

Difahamkan, suspek yang cuba melakukan perbuatan terkutuk telah dicakar oleh mangsa semasa mereka bergelut. Suspek yang hilang pertimbangan dikatakan menghumban mangsa ke dalam parit sebelum dia beredar dari situ.

Selepas kejadian itu, suspek dikatakan berlaku aneh kerana menceritakan apa yang telah berlaku kepada seorang remaja berumur 20-an dari rumah panjang yang berlainan.

Tindakan suspek tersebut menyebabkan desas-desus mengenai khabar angin di kawasan Naman tersebar luas menyatakan kematian mangsa disebabkan rogol dan bunuh. Remaja tersebut juga dibawa oleh polis petang semalam untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan lanjut polis.

Mendiang Britney akan disemadikan di tanah perkuburan Iban di kawasan Naman di belakang rumah panjang awal pagi ini. - UTUSAN BORNEO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan