Ahad, 18 Ogos 2013

40 Ular Sawa Dalam Bilik Hotel


Montreal: Kurang daripada seminggu selepas seekor ular sawa membelit dua kanak-kanak hingga mati, polis semalam menemui 40 ular berkenaan dari bilik sebuah hotel.

Reptilia itu ditemui dalam beberapa tong plastik di sebuah bilik hotel di Brantford, Ontario, tempat sepasang kekasih yang melarikan diri, kata polis. 

Polis melancarkan siasatan terhadap kes itu, tetapi mereka tidak menyatakan di mana pasangan terbabit berada ketika ular itu ditemui atau sama ada mereka akan didakwa kerana melanggar undang-undang melarang memiliki ular sawa.  

Ular berkenaan yang panjang antara 30 sentimeter dan 1.4 meter berada dalam keadaan tidak sihat. Ia kemudian diambil Persatuan Perlindungan Haiwan Kanada untuk tujuan pemeriksaan kesihatan.

Penemuan itu berlaku 11 hari selepas Connor dan Noah Barthe yang berusia enam dan tujuh tahun mati di bandar Campbelton, New Brunswick apabila seekor ular sawa Afrika terlepas dari kurungan dan membelit mereka hingga mati. 

Siasatan polis mendapati ular itu terlepas dari kurungannya sebelum menjalar melalui ruang pengalihan udara yang menuju ke bilik kanak-kanak terbabit. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan