Jumaat, 4 Oktober 2013

Bot ekspres hangus ketika berlabuh

Bot ekspres malang terbabit yang sedang hangus ketika berlabuh di Temalat

SIBU: Sebuah bot ekspres yang sedang dibaiki tiba-tiba terbakar dalam kejadian pada kira-kira jam 3 petang semalam dipercayai akibat litar pintas. Bot eskpres terbabit yang berlabuh di tebing sungai berdekatan Temalat, Song bagaimanapun tidak membawa penumpang ketika kejadian.

Kontroler Lembaga Sungai- sungai Sarawak (LSS) William Jinep berkata, pihak LSS telah menerima laporan berhubung kejadian daripada juragan bot tersebut.

“Ketika kejadian, bot ekspres ini tidak membawa penumpang. Hanya empat pekerja berada di dalam bot,” ujarnya ketika dihubungi semalam.

Menurut William, juragan bot sedar bot tersebut mengalami sedikit kerosakan sebelum berlabuh di tebing sungai untuk dibaiki.

“Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa berlaku.

Juragan bot telah mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya dengan tidak membawa penumpang,” jelas beliau.

Siasatan awal, katanya, mendapati bot ekspres yang beroperasi bagi laluan Sibu-Temalat-Sibu itu terbakar dipercayai akibat litar pintas ketika kerja-kerja membaiki alat penyaman udara.

Beliau juga memberitahu tiada letupan berlaku sebagaimana yang didakwa dan kebakaran berjaya dipadam dalam masa lima minit.

“Kita masih belum pasti kerosakan yang berlaku memandangkan belum ada laporan daripada pemilik bot,” jelas William.

Kebakaran itu juga dikatakan telah menyebabkan kerosakan di bahagian penumpang, sementara bahagian bilik enjin dan ruang pemandu tidak mengalami kerosakan.

Sehubungan itu, beliau menasihati semua pengusaha dan juragan bot ekspres agar sentiasa mengutamakan soal keselamatan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan