Sabtu, 5 Oktober 2013

Korban bot terbalik di Itali meningkat kepada 111 orang

Pengawal pantai menyelamat seorang mangsa bot karam dekat pulau Lampedusa, Itali kelmarin

LAMPEDUSA - Pasukan penyelamat Itali menemui 111 mayat pencari suaka daripada sebuah bot yang karam dekat pulau Lampedusa di Itali kelmarin, kata seorang pengawal pantai semalam. Pasukan berkenaan dijangka mengeluarkan lebih 100 mangsa lagi dari dalam bangkai bot tersebut.

Pihak berkuasa berjaya menyelamatkan 155 mangsa selepas bot sepanjang 20 meter yang membawa sekitar 500 pencari suaka karam kurang satu kilometer dari pantai. Kebanyakan pencari suaka itu berasal dari Eritrea dan Somalia.

"Pasukan penyelam meneruskan operasi pada pagi ini. Kami menjangkakan untuk menemui lebih 100 lagi mayat," kata pengawal pantai, Floriana Segreto.

Lebih 300 orang dipercayai terkorban dalam tragedi paling buruk krisis imigran di Eropah sejak beberapa dekad lalu.

Insiden berlaku apabila bot malang itu terbakar hingga mencetuskan panik dalam kalangan imigran sebelum ia terbalik dan karam. - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan