3,000 penyokong banjiri pekarangan Stadium Negeri biarpun tiket sudah habis dijual
KUCHING: Akibat terlalu percayakan khabar angin, kira-kira 3,000 penyokong menyerbu Stadium Negeri semalam dalam usaha terakhir untuk mendapatkan tiket perlawanan bola sepak di antara Sarawak dan Sime Darby malam ini.
Penyokong yang rata-ratanya marah dan kecewa kerana masih belum mempunyai tiket, dikatakan mula membanjiri pekarangan stadium seawal jam 7 pagi, meskipun telah diberitahu tiket perlawanan sudah habis dijual.
Menurut sumber, penyokong bergegas ke stadium sebaik mendengar khabar angin mengatakan tiket masih dijual di sana.
“Petugas terpaksa menutup pintu pagar bagi mengelak penyokong menyerbu dan menimbulkan kekecohan dalam stadium.
“Sebahagian daripada penyokong yang mula hilang sabar dilihat mula memanjat pagar dan memekik ke arah petugas untuk membeli tiket,” katanya.
Menurutnya, beberapa anggota polis yang dikejarkan ke tempat kejadian bagaimanapun berjaya mengawal keadaan.
Insiden serupa turut berlaku kelmarin apabila ribuan penyokong menyerbu Wisma Hopoh untuk mendapatkan tiket.
Keadaan itu menyebabkan beberapa buah kedai terpaksa ditutup hingga memaksa kaunter jualan tiket dipindah ke pekarangan tempat letak kereta pusat beli-belah berkenaan.
Salah seorang penyokong wanita dilaporkan pengsan dipercayai akibat kesesakan dan kepenatan.
Menurut sumber lagi, dua penyokong tegar Sarawak juga dikatakan hampir bergaduh di kaunter jualan tiket yang terletak di pusat beli-belah Sarawak Plaza.
Insiden dikatakan berpunca ekoran kedua-dua penyokong tidak berpuas hati semasa hendak mendapatkan tiket di kaunter berkenaan.
Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) malam kelmarin mengeluarkan kenyataan bahawa tiket perlawanan bola sepak antara Sarawak dan Sime Darby tidak akan dijual di Stadium Negeri kerana sudah habis dijual.
FAS juga mengatakan pihaknya hanya menjual sebanyak 20,000 keping tiket memandangkan Stadium Negeri hanya dapat memuatkan seramai 21,000 penonton. - UTUSAN BORNEO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan