Rabu, 9 Oktober 2013

Pukulan beduk selamat nyawa

Penduduk melihat keadaan selepas kebakaran terbesar di Matu

MATU: Pukulan beduk jiran menyelamatkan nyawa mangsa kebakaran yang meranapkan 12 rumah kayu di Kampung Padang Tian, Matu dekat Mukah, awal pagi semalam.

Dalam insiden pada kira-kira jam 3 pagi itu, seorang jiran dari kawasan kebakaran, Hassan Udin, 57, ternampak sebuah rumah mula dijilat api lantas mengejutkan jiran-jiran lain untuk memukul beduk.

Menurut Hassan, mengikut tradisi kampung itu, jika beduk masjid berbunyi, ia menandakan ada sesuatu insiden sedang berlaku di sekitar kampung.

“Saya ternampak api sedang membakar sebuah rumah dan secepat kilat saya meminta jiran-jiran lain membunyikan beduk untuk mengejutkan mereka yang sedang tidur.

Kebakaran yang meranapkan bangunan asrama SMK Lake, Bau semalam

“Setiap pagi, saya bangun awal kerana anak saya lazimnya bangun sekitar masa itu untuk membuat kuih,” katanya kepada Utusan Borneo di lokasi kejadian, semalam.

Sejurus itu, usaha memadamkan api yang marak digerakkan oleh penduduk kampung menggunakan enjin pam dengan menyedut air dari Sungai Tian.

“Ketika kejadian angin bertiup agak kencang yang mengakibatkan api marak dengan cepat,” ujarnya yang tinggal kira-kira 100 meter dari kawasan kejadian.

Dalam insiden yang disifatkannya sebagai terbesar di Matu, kira-kira 37 orang daripada 12 keluarga hilang tempat tinggal. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Mangsa kebakaran kini tinggal di rumah keluarga terdekat.

Ahli Parlimen Igan Datuk Wahab Dollah turut menghulurkan bantuan makanan terawal kepada mangsa.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mukah Rasit Morni berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.15 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian menggunakan sebuah jentera dengan enam anggota yang diketuai oleh Pegawai Azman Amit.

“Selepas menerima panggilan kecemasan, kami terus menghubungi pihak polis di Igan untuk membantu menyediakan feri dan kami mengambil masa dua jam lebih untuk sampai ke lokasi kejadian iaitu sekitar jam 5.09 pagi.

“Sejurus tiba, saya dan anggota lain terus berusaha memadamkan api dan dapat mengawal api 10 minit kemudian.

Api dapat dikawal sepenuhnya sekitar jam 7.40 pagi,” katanya.

Rasit menambah, anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan orang awam turut membantu pihak bomba memadam kebakaran tersebut.

Sementara itu di Bau, sebuah bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lake musnah dijilat api dalam kebakaran tengah hari semalam.

Asrama dua tingkat tersebut yang menempatkan pelajar lelaki tingkatan enam dan empat sekolah berkenaan dikatakan musnah 70 peratus dalam kebakaran yang berlaku sekitar jam 12 tengah hari.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Bau Zainal Elias berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 12.06 tengah hari.

“Jarak di antara balai dan sekolah kira-kira satu kilometer di mana kita tiba di tempat kejadian kurang daripada seminit selepas bertolak dari balai “Dengan kekuatan anggota seramai 14 orang yang turut dibantu oleh beberapa pelajar Kadet Bomba sekolah berkenaan, kita berjaya mengawal api pada jam 12.30 tengah hari dan dipadam sepenuhnya pada jam 1.04 petang,” jelas Zainal sambil menambah, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut.

“Tiada pelajar berada di asrama tersebut semasa kebakaran berlaku.

Kita difahamkan, asrama tersebut dihuni oleh pelajar tingkatan empat serta enam bawah dan mereka ketika ini sedang bercuti.

“Hanya beberapa pelajar tingkatan enam bawah sahaja yang tidak bercuti, namun semasa kejadian mereka sedang mengikuti kelas tambahan,” katanya.

Menurut Zainal lagi, tingkat atas bangunan separa konkrit kekal itu musnah sepenuhnya, manakala tingkat bawah terbakar 20 peratus.

“Api merebak dengan cepat tambahan tingkat atas bangunan asrama tersebut dibina daripada kayu, manakala tingkat bawah konkrit,” katanya.

Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan