SIBU: Empat sekeluarga nyaris maut apabila rumah teres dua tingkat mereka di Lorong Deshon 18B di sini menjadi sasaran perbuatan khianat, awal pagi semalam.
Seorang jurujual kereta hanya dikenali sebagai Goh, 30, dan isterinya seorang guru, 29, serta dua anak mereka berumur satu dan enam tahun dikatakan sedang tidur di bilik tidur utama ketika tempat letak kereta mereka terbakar sekitar jam 3.30 pagi.
Asap tebal yang mengeluarkan gas beracun menyebabkan mereka sekeluarga pengsan.
Jiran sebelah yang terhidu bau asap dan terdengar bunyi bising bergegas memeriksa keadaan di luar dan mendapati api merebak di tempat letak kereta mangsa.
“Saya bergegas masuk semula ke rumah untuk memberitahu ahli keluarga yang lain supaya keluar dari rumah secepat mungkin,” katanya sambil menambah beliau menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat sejurus itu.
Pasukan Bomba dari Balai Sungai Merah tiba bersama lima anggota yang bergegas membuka pagar besi pintu hadapan untuk memasuki rumah tersebut.
Empat sekeluarga terbabit yang didapati masih tidak sedarkan diri di bilik tidur utama di tingkat atas, kemudiannya berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba.
Mereka dibawa melalui pintu belakang sebelum dibawa ke halaman rumah jiran mereka.
Bantuan CPR terpaksa dilakukan terhadap mereka, manakala bayi berumur setahun yang berada dalam keadaan serius selepas menghidu asap dikejarkan ke Hospital Sibu menggunakan kereta polis dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Kedua-dua ibu bapanya turut mengalami kelecuran pada tangan mereka manakala anak perempuan mereka berada dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Shafie Ismail ketika dihubungi mengklasifikasi kes tersebut sebagai khianat. Menurutnya, pemilik rumah tersebut pernah terlibat dalam perniagaan menjual minyak diesel tetapi berhenti menjalankan perniagaan tersebut dua bulan lalu.
Katanya, sebuah kereta Perodua Viva dan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang mempunyai tangki minyak diletakkan di bahagian belakangnya turut musnah dijilat api.
“Polis sedang menjalankan siasatan ke atas motif di sebalik kerja khianat ini,” katanya yang tidak menolak kemungkinan penjenayah menggunakan bom ‘molotov cocktail’ sebagai penyebab kebakaran itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan