Rabu, 1 Januari 2014

Persatuan Bajau Suluk Bantah Perhimpunan Haram


MIRI:Persatuan Bajau Suluk (PBS) Miri di sini semalam turut tampil membuat laporan polis bagi membantah perhimpunan haram untuk menggulingkan kerajaan pada malam sambutan ambang Tahun Baharu 2014.

Setiausahanya, Abdul Samad Musa yang mengetuai 11 ahli persatuan itu hadir di Balai Polis Miri sekitar jam 9.30 pagi untuk membuat bantahan terhadap tindakan mengguling kerajaan.

“Kami bersama 200 ahli yang lain mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak penganjur yang ingin menggulingkan kerajaan pada ambang Tahun Baharu dan sepatutnya malam itu disambut dengan penuh kesyukuran dan keamanan,” katanya di sini semalam.

Beliau memberitahu, perhimpunan itu bukan sahaja akan menjejaskan imej negara tetapi pada masa sama akan membawa kepada keadaan huru-hara setiap kali perhimpunan haram diadakan.

“Kami menyarankan agar kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana penganjur yang berhasrat mengadakan perhimpunan haram kerana ia sudah pasti memberi lebih banyak kerugian daripada pelbagai sudut,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata adalah tidak wajar negara yang aman ketika ini diporak-perandakan dengan perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan padahal kerajaan sedia ada dipilih atas lunas undang-undang.

“Kita mengamalkan demokrasi dan kerajaan yang dipilih berdasarkan proses pilihan raya.

“Sehubungan itu, tindakan menggulingkan kerajaan selepas proses pilihan raya adalah haram dan kerajaan harus mengambil tindakan tegas,” ujarnya.

Abdul Samad memberitahu, laporan terbabit dibuat sebagai bantahan sekeras-kerasnya terhadap usaha menggulingkan kerajaan kerana yakin kerajaan sedia ada merupakan pilihan rakyat.

“Kami bersama pelbagai pihak lain di seluruh negara membantah dan menolak setiap ideologi pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja mengadakan perhimpunan haram untuk menimbulkan suasana tidak selamat dan huru-hara,” katanya.

Baru-baru ini, pemilik akaun Facebook dikenali Asmaelz Hadzeny II dalam laman itu menghasut orang awam supaya menyertai perhimpunan haram di Kuala Lumpur pada 31 Disember ini.

Beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan telah tampil membuat laporan polis membantah tindakan terbabit dan isu itu kini semakin hangat menjelang tahun 2014. - UTUSAN BORNEO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan