Rabu, 1 Januari 2014

54 Mangsa Banjir Masih Di Pusat Pemindahan


Menurut Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bintulu Agustine Jenang, semua mangsa masih tinggal di pusat terbabit dari Kampung Kemunting dan penempatan Batu 5 Jalan Bintulu-Miri yang merupakan kawasan terjejas teruk akibat banjir.

Jelasnya, setakat ini tiada penambahan mangsa dipindahkan memandangkan air kawasan terjejas sudah hampir surut berikutan fenomena hujan yang semakin reda sejak semalam.

“JKM sentiasa memastikan mangsa banjir akan mendapat bantuan sewajarnya seperti bekalan makanan, selimut, bantuan perubatan dan sebagainya mengikut keperluan mereka bagi memastikan kesihatan mereka terjaga,” katanya.

Beliau berkata, JKM terus memberi bantuan susulan bagi memastikan mangsa banjir dapat meneruskan kehidupan mereka seperti biasa setelah banjir reda.

“JKM turut memberi bantuan sewajarnya kepada ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah memandangkan hampir semua peralatan persekolahan anak-anak mereka rosak akibat banjir,” jelasnya.

Pada Ahad lalu, banjir kilat melanda beberapa kawasan perumahan dan premis komersil di sekitar bandar Bintulu berikutan hujan luar biasa.

Kejadian ini menyebabkan penduduk dari tujuh kawasan terjejas teruk dipindahkan ke kawasan selamat berikutan kediaman mereka dinaiki air.

Antara kawasan terjejas teruk ialah Taman TTU, Taman Desa Damai, Taman Beverly, Taman Putrajaya Fasa 5, Jalan Batu 5 (Jalan Sebiew), Kampung Kemunting dan Kampung Avenue.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan