Jumaat, 26 April 2013

35 Pengganas Sulu Ditembak Mati Tentera Laut Filipina


GEORGE TOWN: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam mengesahkan laporan akhbar bahawa 35 orang pengganas Sulu ditembak mati oleh Tentera Laut Filipina di Pulau Sibutu, Filipina pada Sabtu lepas, yang merupakan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Berdasarkan siasatan dan maklumat risikan, kumpulan pengganas itu berhasrat untuk memasuki Sabah, dan mengadakan pencerobohan dan kekacauan menjelang PRU13 ini, katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini semalam.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Angkatan Tentera Filipina khususnya Tentera Laut Filipina dan Pengawal Pantai Filipina yang telah memberi kerjasama erat dengan kerajaan Malaysia, khususnya ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Akhbar Utusan Malaysia semalam melaporkan Pasukan Keselamatan Filipina menembak mati 35 anggota pengganas Kiram, yang diketuai pemimpin kanannya Kalling Amirul, dalam pertempuran sengit di Pulau Sibutu, Filipina pada Sabtu lepas, ketika kumpulan itu merancang strategi untuk menceroboh dan menyerang pantai timur Sabah bagi merencatkan proses PRU13.

Dalam pertempuran itu, dua anggota keselamatan Filipina terbunuh, dan pasukan keselamatan Filipina juga telah merampas lebih 20 laras senjata api M16 dan rifel Garand.

Beliau juga memberi jaminan keselamatan pengundi di seluruh Malaysia, khususnya yang berada di Sabah, terjamin dan mereka boleh menjalankan hak mereka dengan selamat pada 5 Mei ini. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan