Jumaat, 26 April 2013

Bieber Dikritik Kerana Komennya



AMSTERDAM, Belanda - Penyanyi remaja terkenal, Justin Bieber mencetuskan kemarahan di internet selepas dia menulis mesej di dalam buku pelawat di Muzium Anne Frank di sini pada Jumaat lalu.

Dalam mesej itu, Bieber berharap Anne Frank yang merupakan seorang remaja perempuan berketurunan Yahudi yang mati semasa kejadian pembunuhan beramai-ramai kaum itu akan menjadi peminatnya jika dia masih hidup.

Mesej tersebut yang disiarkan di laman Facebook muzium berkenaan telah mencetuskan kemarahan dan mendapat reaksi yang negatif daripada orang ramai. Jurucakap Bieber enggan memberikan sebarang komen berhubung kejadian tersebut.

"Anne seorang gadis yang hebat. Adalah diharapkan, dia akan menjadi seorang peminat Bieber," tulis Bieber dalam buku pelawat tersebut yang kemudian disiarkan di laman Facebook muzium tersebut.

Pengarah Pusat Maklumat dan Dokumentasi Israel Belanda, Esther Voet berkata, komen Bieber itu dianggapnya sebagai bodoh.

"Ia menunjukkan anda dan bintang-bintang yang terkenal tidak selalu mempunyai darjah kecerdasan otak yang hebat," katanya kepada agensi berita AFP.

Salah seorang pengkritik komen itu di Facebook, Tania Saez Pinto yang marah berkata, komen seperti itu tidak pernah dibacanya.

Pinto juga menyindir dengan menyatakan, Anne merupakan seorang yang bijak sehingga dia tidak akan membeli albumnya.

Seorang juruhebah radio untuk program Weekend Edition Saturday yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Scott Simon berkata, Anne akan tertawa jika mengetahui komen itu. Kejadian pembunuhan beramai-ramai kaum Yahudi itu berlaku pada Perang Dunia Kedua atas arahan pemimpin Jerman, Adolf Hitler.

Anne dan keluarganya bersembunyi di sebuah apartmen kecil di Amsterdam semasa pendudukan tentera Jerman ketika Perang Dunia Kedua berlaku. Dia yang terkenal kerana menulis sebuah diari semasa kejadian pembunuhan tersebut telah meninggal dunia akibat penyakit tifus di kem tahanan Bergen-Belsen pada tahun 1945 ketika berusia 15 tahun.

Diari itu kemudian diterbitkan selepas peperangan tersebut berakhir. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan