Khamis, 25 April 2013

OKU Dirogol, Ibu Lapor Polis


SARIKEI: Seorang ibu ke­pada anak orang kurang upaya (OKU) dari Jalan For­tuna di sini tampil membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Sarikei petang kelmarin kerana khuatir anaknya telah dirogol.

Timbalan Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei DSP Dominic Josip ketika dihubungi pember­ita semalam mengesahkan ada menerima laporan terbabit.

“Berdasarkan laporan yang diterima, pada mulanya ibu mangsa menyangka anaknya yang berusia 17 tahun itu sakit setelah beberapa bulan tidak datang haid.

“Berikutan itu, ibu mangsa telah membawa mangsa ke sebuah klinik di sini untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

“Setelah pemeriksaan, dok­tor di klinik terbabit menda­pati mangsa telah mengand­ung dan terus memaklumkan perkara itu kepada ibu mangsa,” kata Dominic.

Tambah Dominic, sejurus dimaklumkan tentang kepu­tusan pemeriksaan tersebut, ibu mangsa telah bertindak membuat laporan polis.

“Dalam laporan tersebut juga, ibu mangsa memaklum­kan tentang seorang suspek yang disyaki bertanggungja­wab ke atas perbuatan terse­but yang juga jiran mereka.

“Berikutan dengan laporan tersebut, pihak polis telah bertindak menahan suspek yang berusia 51 tahun dan tahanan reman ke atasnya te­lah kita buat bermula hari ini (semalam) bagi menjalankan siasatan.

“Pada masa yang sama, pada petang kelmarin kita turut menghantar mangsa ke hospital bagi mengesahkan tentang status kandungan­nya.

“Hasil dan keputusan yang kita perolehi daripada pihak hospital telah mengesahkan bahawa mangsa telah men­gandung 21 minggu,” ka­tanya. Menurut Dominic lagi, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan