Sabtu, 27 April 2013

BR1M Lebih Baik Daripada Menurunkan Harga Petrol

BR1M  Miri.Net - Terima Kasih PM

BAGAN SERAI – Dasar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) jauh lebih baik daripada janji pembangkang untuk menurunkan harga petrol sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, program BR1M lebih berkesan kerana ia memberi manfaat secara langsung dan menyeluruh kepada golongan sasaran iaitu rakyat bawahan.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, dasar menurunkan harga petrol lebih mengundang kepada ketirisan kepada golongan tidak layak seperti orang kaya dan warga asing.

“Kalau kurang harga minyak, siapa untung? Orang kaya yang bawa kereta besar, pelancong, pekerja asing, orang jual minyak di (negara) seberang yang untung.

“Apabila kita beri BR1M, rakyat miskin yang dapat manfaatnya,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 15,000 penduduk pada Perhimpunan Rakyat 1Malaysia di Dataran UMNO Bahagian Bagan Serai di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir, calon BN bagi Parlimen Bagan Serai, Dr. Noor Azmi Ghazali; calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat; calon BN DUN Selinsing, Sharudin Ahmad dan calon BN DUN Semanggol, Zulkarnain Ismail.

Najib berkata, BR1M juga memberi manfaat kepada golongan peniaga setempat ekoran wang yang diberikan menerusi program tersebut akan dibelanja penerima untuk membeli barang keperluan.

BRIM 2.0 yang membabitkan dana RM3 bilion mengagihkan bantuan sekali bayar sebanyak RM500 kepada keluarga yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan bawah RM2,000 sebulan pula menerima sebanyak RM250.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan