Khamis, 19 April 2012

Wanita Idaman Lelaki


Bentuk tubuh yang menarik

Susuk tubuh hebat sememangnya menjadi dambaan setiap lelaki. Bagi wanita yang secara semulajadi mempunyai susuk tubuh persis model, peliharalah ia supaya kekal hingga bila-bila. Bagi mereka yang terlebih montok pula, lakukan sesuatu agar susuk tubuh kembali langsing. Lelaki suka golongan wanita yang berusaha untuk tampil cantik di hadapan mereka. 

Selain bentuk tubuh, aset lain yang mampu menggegarkan hati lelaki ialah mata, punggung dan langkah yang kemas. Jangan pelik jika ada lelaki yang jatuh cinta kepada anda hanya kerana anda mempunyai jari yang runcing dan kuku yang bersih. Ini kerana selera setiap individu itu berbeza di antara satu sama lain. 

Sentiasa tersenyum apabila berbicara

Wanita yang sentiasa senyum juga mampu melembutkan hati sang teruna untuk jatuh cinta. Cuma jangan keterlaluan kerana nanti si dia fikir anda ‘tidak betul’ pula. 

Sentiasa merendah diri

Bagi mereka yang mempunyai pendidikan yang lebih tinggi daripada teman lelaki atau suami, jangan pula menunjuk-nunjuk kerana lelaki sangat gemarkan wanita yang merendah diri dan tahu menghormati orang lain. 

Lemah-lembut

Sifat ini cukup untuk mencairkan hati lelaki. Sememangnya sebagai seorang lelaki, mereka mengimpikan pendamping yang sentiasa bersifat lemah-lembut. Tapi awas, lelaki tidak suka wanita yang mengada-ngada atau menunjukkan sikap manja yang berlebihan. 

Jujur

Jujurlah anda dengan teman lelaki atau suami anda. Si dia pasti akan menghargai anda kerana lelaki sangat suka dengan wanita yang jujur atau tidak menipu. 

Penampilan yang sederhana


Jangan keterlaluan apabila bersolek kerana kebanyakan lelaki sukakan wanita yang mempunyai kecantikan semulajadi. Paling penting, anda perlu tahu bahawa kecantikan itu bukan segala-galanya bagi seorang lelaki. Lelaki tidak akan memilih wanita untuk di jadikan pasangan hidup hanya kerana kecantikkan luaran sahaja. Apa yang penting, luaran cantik dan dalaman haruslah cantik juga. Lakukan apa yang dia suka dan elakkan perkara yang tidak digemarinya. 

Jangan perasan

Walaupun anda sememangnya mempunyai paras wajah yang cantik, anda janganlah terlebih pulak. Kalau ada orang lain yang memuji anda cantik, cukup dengan sekadar tersenyum. Jangan pula semakin meninggikan diri dan perasan lebih. Si dia pasti bangga dengan sikap itu.


Bermanjalah dengan si dia

Selalunya apabila berada di dalam situasi yang romantik, lelaki juga suka bermanja atau dimanjakan. Ketika ini anda bolehlah bermanja-manja dengan si dia. Manja harus kena dengan tempat juga. Tak kan masa si dia tengah marah nak bermanja-manja. Itu bala namanya. 

Bijak menyesuaikan diri

Anda juga harus bijak menyesuaikan diri di dalam apa jua situasi terutama apabila berada di hadapan khalayak ramai atau di majlis-majlis rasmi. Pasti si dia tersenyum bangga melihat personality anda.

Jangan bercakap hal yang remeh-temeh

Jangan bercakap perkara yang remeh-temeh kepada si dia. Cakaplah perkara yang penting sahaja kerana perkara remeh-temeh yang anda sampaikan itu hanya akan membuatkan si dia bosan dengan sikapmu. Lebih membuatkan si dia menyampah jika anda suka bercerita tentang perkara yang melibatkan orang lain atau lebih tepat suka mengumpat. 

Matang

Bersifat matanglah apabila bersama dengannya. Lelaki tidak gemar dengan wanita yang terlalu keanak-anakan. Apatah lagi kalau anda sememangnya sudah berusia. 

Jangan bandingkan si dia dengan lelaki lain

Jangan sekali-kali membandingkan si dia dengan rakan lelaki yang lain ataupun dengan bekas kekasih anda. Perkara itu hanya akan membuatkannya marah atau lebih teruk, si dia tidak akan berasa selesa bila bersama dengan anda lagi.


Menjadi sahabat padanya

Jadilah sahabat kepada si dia sama ada di waktu senang atau susah. Wanita sebegini selalunya akan menjadi sumber inspirasi atau kekuatannya apabila berhadapan dengan sesuatu masalah. 

Jadilah pendengar yang setia

Jangan sekali-kali memotong percakapan apabila si dia sedang bercakap. Lelaki tidak suka wanita yang terlalu banyak bercakap tetapi tidak mahu mendengar apabila dia berbicara.


Pandai membelai

Walaupun lelaki sinonim dengan sifat kasar, namun pada waktu tertentu mereka sangat suka apabila dibelai oleh insan yang paling dicintai. 

Jangan terlalu ingin menguasai

Jangan terlalu suka meminta-minta, merengek atau mendesak-desak kepada lelaki. Lelaki tidak gemar wanita terlalu berkuasa di dalam sesebuah perhubungan. Jika anda sangat memerlukan sesuatu perkara, mintalah secara baik kerana lelaki selalunya mudah untuk bertolak-ansur dalam pelbagai perkara. 

Tunjuk sikap prihatin

Sentiasa menunjukkan sikap prihatin terhadap teman lelaki atau suami. Apa salahnya sesekali anda menghubunginya untuk mengucapkan selamat pagi atau selamat makan tengahari kepadanya. Walaupun nampak kecil, tetapi apa yang anda lakukan memberikan impak yang cukup besar terhadap teman lelaki atau suami anda. 

Berdikari

Belajar berdikari dan jangan terlalu bergantung harap pada si dia. Selalunya lelaki tidak suka melakukan perkara yang remeh kerana banyak lagi perkara lain yang lebih penting perlu mereka fikirkan. Apa salahnya anda pergi ke pasar atau membayar bil seorang diri. 

Tegas

Tunjukkan kepadanya bahawa anda mempunyai prinsip hidup yang jelas. Jangan sesekali lemah dan membiarkan lelaki mempermainkan anda. Lelaki selalunya lebih menghormati golongan wanita yang tegas dan tidak mudah mengalah.

Terus-terang


Berterus-teranglah dengan teman lelaki atau suami anda. Jangan sekali-kali menyorokkan kebenaran daripada mereka walaupun sesetengah kebenaran itu sememangnya pahit untuk ditelan. 

Bagi sedikit kebebasan

Berikan sedikit kebebasan kepada si dia. Adakalanya lelaki juga mahu menghabiskan masa mereka bersama teman-teman mereka yang lain. Kalau anda boleh melakukannya, pasti si dia tidak teragak-agak untuk terus bersama anda.


Menjaga hati

Selain dirinya, anda juga perlu bijak menjaga hati ahli keluarga serta teman-teman rapatnya. Jika ahli keluarga serta teman-temannya menyukai anda, itu merupakan satu petanda bahawa perhubungan anda akan berkekalan sampai bila-bila. 

Jangan merasa diri sempurna

Jangan tunjukkan dan merasa diri anda seperti seorang individu yang terlalu sempurna. Anda perlu terima hakikat bahawa di dalam dunia ini tiada seorang pun yang sempurna. Lelaki juga selalunya suka kepada wanita yang berani mengakui kelemahan dan kesilapan diri. Itu menunjukkan wanita tersebut sangat realistik dengan apa sahaja yang dilakukannya. 

Pandai memasak

Terasa pelik apabila seorang perempuan itu tidak tahu memasak. Si dia pasti akan semakin sayang apabila anda pandai memasak. Lebih-lebih lagi apabila teman-temannya memuji masakan yang andai masak sedap. 

Berpendidikan

Bukan bererti perlu mempunyai segulung ijazah dari mana-mana universiti tetapi cukup menonjolkan sikap rasional dan berfikiran positif bersama pasangan anda. Tonjolkan sikap yang menyenangkan apabila anda bersama si dia. Paling penting sentiasa bertindak rasional dan berfikiran positif apabila anda mengalami sebarang masalah.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan