Isnin, 20 Januari 2014

Mangsa Bot Karam Cerita Detik Cemas

Operasi Mencari dan Menyelamat

MUKAH: “Bila melihat keadaan sungai bergelora teruk, saya mengambil keputusan untuk berpatah balik. Tiba-tiba dengan tidak diduga ombak setinggi tiga kaki memukul perahu kami,” kata Melajim Akim, 59, menceritakan detik cemas dalam tragedi bot karam yang membawa 27 penumpang yang hanya beberapa kilometer dari Pangkalan Feri Nanga Kecil, Daro.

Kejadian berlaku sekitar jam 1 petang itu mengorbankan tiga penumpang, tujuh masih belum dijumpai dan 17 terselamat. Semua mangsa terselamat dirujuk ke Hospital Daro untuk diberi rawatan lanjut dan mayat mangsa ditemui kelmarin dihantar ke bilik mayat hospital berkenaan.

Melajim yang merupakan juragan bot tersebut memberitahu, kejadian tersebut berlaku terlalu pantas dan dia hanya mampu melihat rakan-rakan yang lain terkapai-kapai meminta pertolongan.

Namun, usaha membantu antara satu sama lain gagal akibat keadaan sungai yang bergelora dan hanya mampu menyelamatkan diri sendiri.

“Situasi bot pada ketika itu sangat mencemaskan, saya memang tidak dapat membayangkan detik cemas itu dengan keadaan perahu kami terjunam akibat pukulan ombak yang kuat.

“Oleh sebab itu, tiga penumpang yang duduk di bahagian hadapan bot tidak dapat menyelamatkan diri kerana peratusan untuk selamat memang rendah kerana sebelah hadapan bot kami terjunam terlebih dahulu,” jelasnya.

Melajim berkata bagaimanapun penduduk di kawasan Kampung Kut, Daro yang kebetulan melihat kejadian tersebut bergegas memberi bantuan.

Seorang lagi saksi kejadian, Aiman Sepawi, 23, memberitahu bahawa nasib mereka sangat baik kerana pada waktu itu penduduk di kawasan Kampung Kut memberi pertolongan segera kepada mereka yang masih terkial-kial minta pertolongan.

“Saya amat bersyukur kerana saya dan rakan-rakan lain masih terselamat dan penduduk di Kampung Kut memberi pertolongan segera kepada kami,” katanya ketika ditemui di Hospital Daro, malam kelmarin.

Ahad, 19 Januari 2014

Tiga Lemas, Lapan Masih Hilang

Jenazah tiga mangsa ditempatkan sementara di Masjid Kampung Kut.

Beberapa mangsa menerima rawatan di Hospital Daro.

DARO: Tiga orang mati lemas manakala lapan lagi masih hilang apabila sebuah bot panjang yang dinaiki 27 orang terbalik dan karam di muara Batang Lassa di sini, semalam.

Dalam insiden pada kira-kira jam 1 petang di perairan Kampung Kut itu, 16 orang mangsa lain selamat. Sumber memberitahu, bot mereka karam selepas dipukul ombak besar.

Rombongan itu baharu balik dari menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Saai dan menuju ke rumah masing-masing di Kampung Tekajong.

Mangsa yang terkorban ialah Melati Jerai, 51, Sekiah Kifli, 49, Merah Murni, 55, manakala identiti mereka yang masih hilang dan terselamat belum dapat disahkan. Penumpang-penumpang bot itu dipercayai berusia antara 30 dan 50 tahun.

“Pemandu bot cuba berpatah balik apabila terlihat ombak besar di hadapan mereka. Bagaimanapun, ketika cuba membuat pusingan-U, bot mereka dipukul ombak besar menyebabkan ia terbalik,” kata sumber. Kesemua penumpang dan pemandu bot dipercayai tidak memakai jaket keselamatan.

Operasi mencari dan menyelamat digerakkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah, Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah dan Balai Bomba dan Penyelamat Sentral, Sibu.

Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 1.52 petang.

Jurucakap bomba berkata, keadaan sungai yang bergelombang menyebabkan dua bot operasi mencari dan menyelamat tidak dapat meneruskan perjalanan ke lokasi kejadian dan terkandas di Kampung Saai.

“Operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada jam 7.15 malam dan akan disambung awal pagi esok,” kata jurucakap bomba.

Sementara itu, tiga jenazah mangsa dan mangsa-mangsa selamat yang pada mulanya ditempatkan di Masjid Kampung Kut kemudiannya dibawa ke Hospital Daro.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Matu-Daro Wagner Lisa Libut berkata, ketika kejadian keadaan perairan di muara Batang Lassa yang bertembung dengan Laut China Selatan sedang bergelora dan angin kencang. - UTUSAN BORNEO

Operasi Mencari Dan Menyelamat Diteruskan


DARO: Operasi mencari dan menyelamat lapan mangsa yang dikhuatiri hilang bot terbalik dan karam di muara Batang Lassa di sini semalam diteruskan pagi ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Semop Abdullah Saidol berkata satu bilik operasi diwujudkan di Kampung Saai bagi menggerakkan usaha itu.

“Kali ini operasi akan dibantu dengan bantuan dua helikopter dari pasukan bomba dan polis,” katanya.

Senarai mangsa yang masih hilang:

1. Borhan Burdai ( 65 tahun )

2. Riji Dalol ( 60 tahun )

3. Mahdani Akim ( 55 tahun )

4. Naibi Saibi ( 60 tahun )

5. Kalsum Mat ( 50 tahun )

6. Iboong Rais ( 60 tahun )

7. Nur Abdullah ( 40 tahun)

8. Abu Bakar Malik ( 62 tahun )

16 orang mangsa selamat, tiga terkorban. Jenazah tiga mangsa yang dijumpai semalam telah diterbangkan menggunakan helikopter nuri dari Daro ke Kampung Tekajong tengah hari tadi. - UTUSAN BORNEO


Taman Tema Air Senadin Siap Sepenuhnya Jun 2015

Gambar Hiasan

MIRI: Kerja-kerja pembinaan Taman Tema Air fasa pertama di Senadin oleh Miri Housing Group akan bermula pada bulan hadapan dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2015.

Pengerusi Kumpulan Eksekutif Miri Housing Group, Datuk Lau Siu Wai berkata majlis pelancaran dan pecah tanah projek mega taman air itu akan diadakan pada 22 Februari ini oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Katanya, majlis pelancaran dan pecah tanah itu akan diadakan di tapak taman tema seluas 500 ekar yang terletak tidak jauh dari Universiti Curtin Malaysia Sarawak (Curtin Sarawak).

“Majlis akan diadakan mulai jam 10 pagi dan kita mempelawa orang awam agar datang beramai-ramai memeriahkannya. Kita menyediakan ribuan payung berkualiti tinggi selain makanan kepada orang awam,” katanya pada sidang media di pejabat Miri Housing Group, di sini kelmarin.

Tambahnya, taman tema air itu akan dilengkapi dengan kompleks beli-belah, tiub air, papan gelongsor air, kolam renang cetek dan kolam renang dalam.

“Apabila siap nanti, ia bukan hanya mengubah wajah Senadin malah menambah tarikan di Miri keseluruhannya. Kami berharap dapat memberi lebih banyak pilihan kepada warga Miri dan pelancong untuk menghabiskan masa hujung minggu selain berjalan di taman.

“Pada masa sama menjadikan Miri lebih menarik dikunjungi sejajar dengan statusnya sebagai bandar raya pelancongan,” katanya sambil menambah projek yang menelan kos kira-kira RM1 bilion itu akan dibina secara tiga peringkat.

Tambahnya, bangunan kompleks beli-belah di taman tema itu juga akan dibina lebih besar berbanding Bintang Megamall yang menempatkan premis menjual barangan berjenama dari luar negara.

Beliau yakin ia dapat menarik ramai pengunjung dan pelancong kerana kedudukannya terletak berhampiran sempadan Miri dan Brunei.

Penduduk Sibuti Diminta Supaya Kemas Kini Maklumat BR1M 3.0


MIRI: Penduduk di Sibuti diingatkan supaya mengemas kini maklumat dan data peribadi untuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 sebelum tarikh tutup permohonan pada 31 Januari ini.

Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang memberitahu ia adalah untuk melancarkan proses pengagihan bantuan berkenaan tidak lama lagi.

“Sila kemas kini data peribadi dan juga nombor akaun untuk menyenangkan pemberian BR1M 3.0 nanti,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, semua data peribadi dan akaun boleh dikemaskinikan di laman sesawang Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN) beralamat di www.hasil.gov.my.

Sementara itu, beliau turut menasihati agar pemohon baharu juga mendaftar secara dalam talian atau secara manual dengan mengisi borang permohonan BR1M 2014.

“Kerajaan sudah mempermudah kaedah permohonan dan juga penerimaan BR1M, ini semua demi rakyat,” jelasnya.

Maklumat umum mengenai BR1M 3.0, pembayaran dijangka akan dibuat kepada yang layak bermula Februari dan dijangka memberi manfaat kepada 5.9 juta isi rumah serta dua juta individu bujang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemberian BR1M 2014 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala untuk indvidu bujang berusia 21 tahun dan ke atas dengan pendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan dinaikkan sebanyak RM250 kepada RM300.

Warga emas berusia 60 tahun ke atas dan tinggal sebatang kara juga akan menerima kenaikan jumlah bantuan daripada RM500 kepada RM650.

Sabtu, 18 Januari 2014

Mayat Remaja Terjun Laut Cuba Selamatkan Pakcik Ditemui

Gambar Hiasan

KOTA SAMARAHAN: Seorang remaja yang dilaporkan hilang se­lepas cuba menyela­matkan bapa saudaranya yang terjatuh ke dalam laut berdekatan Kam­pung Jemukan, Asajaya ditemui lemas pagi semalam.

Menurut jurucakap bomba, mayat Amir Sahari, 14, ditemui oleh beberapa anggota bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang menyertai operasi mencari dan menyela­mat kedua-dua mangsa sekitar jam 10 pagi se­malam.

“Operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa yang dikhuat­iri lemas itu pada hari ini (semalam) berjaya menemui mayat seorang daripada mangsa (Amir) iaitu beberapa meter dari tempat kejadian sekitar jam 10 pagi tadi (pagi semalam).

“Bagaimanapun usaha untuk mengesan seorang lagi mangsa masih di­jalankan sehingga arahan seterusnya,” katanya.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Sungai Ladong itu bersama lima lagi rakan mereka pergi ke laut untuk men­cari kerang pada hari Rabu lepas, sekitar jam 7 pagi.

Bagaimanapun, sekitar tengah hari, bot yang dinaiki mangsa bersama dengan rakan mere­ka itu dipukul ombak menyebabkan bapa sau­dara Amir yang dikenali sebagai Riduan terjatuh ke laut.

Amir kemudian seg­era terjun ke laut untuk menyelamatkan bapa saudaranya itu namun kedua-dua mereka hilang ditelan ombak. Rakan-rakan mangsa itu kemudian terus ke darat untuk mendap­atkan bantuan.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa oleh anggota bomba dan JPAM kemudian dijalankan sebaik sahaja mendapat laporan ber­hubung kejadian.

Lelaki Hilang Ditemui Lemas Di Balai Ringin

 Seorang anggota polis sedang mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Serian.

SERIAN: Seorang lelaki yang dikatakan hilang sejak dua hari lepas ditemui mati lemas di se­batang sungai di Balai Ringin di sini, awal pagi semalam.

Menurut sumber, mayat lelaki tersebut yang hanya dikenali sebagai Taip, berusia 32 tahun juga berasal dari Balai Ringin ditemui oleh penduduk kampung sekitar jam 7.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Jamali Umi semasa di­hubungi mengesahkan pen­emuan tersebut dan memberita­hu mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Serian untuk tujuan bedah siasat.

“Mangsa dikatakan hilang sejak dua hari lepas namun tiada laporan orang hilang dibuat oleh keluarga mangsa. Siasatan awal mendapati mangsa mati lemas dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Serian,” Kata Jamali. - UTUSAN BORNEO

Lelaki Ditemui Meninggal Dunia Dalam Kenderaannya

Gambar Hiasan

BINTULU: Seorang lelaki ditemui men­inggal dunia dalam kenderaannya oleh orang awam disyaki akibat serangan jan­tung di pusat bandar ini semalam.

Lelaki berbangsa Iban berusia 60 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri sekitar jam 1 petang oleh orang awam yang melalui kawasan itu. Mangsa dipercayai sedang menunggu seseorang berdekatan sebuah kedai di situ.

Salah seorang orang awam berkata, sebelum itu lelaki itu dilihat terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam keretanya.

“Dia seperti pengsan. Saya ingat dia pengsan lalu saya mengetuk cermin kere­tanya berkali-kali tetapi tidak ada tindak balas,” katanya ditemui di lokasi kejadian semalam.

Berikutan itu, pihaknya menghubungi ambulans Hospital Bintulu untuk menda­patkan bantuan dan kakitangan perubatan memeriksa keadaan mangsa mengesahkan mangsa meninggal dunia.

Polis Bintulu turut bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan dan seter­usnya memaklumkan kepada keluarga mangsa.

Abang kepada mangsa semasa ditemui berkata, pada pagi sebelum kejadian adiknya itu tidak menghadapi masalah apa-apa kelihatan baik sahaja dan beliau percaya kemungkinan dia menghadapi serangan jantung.

Sementara itu, polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.