Khamis, 2 Januari 2014

18 Orang Ditahan JAIS Dipercayai Berkhalwat

SIASATAN LANJUT: Pasangan yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat JAIS untuk diambil keterangan.

KUCHING: Seramai 18 orang yang terdiri daripada sembilan pasangan dipercayai berkhalwat, ditahan oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dalam satu operasi sempena sambutan ambang tahun baharu malam kelmarin.

Menurut Pegawai Penguat Kuasa JAIS Kassim Yusuf, kesemua pasangan tersebut ditahan di dua lokasi berlainan dalam operasi tersebut yang dijalankan bermula jam 10 malam sehingga tengah malam kelmarin.

“Mereka yang ditahan berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun, di mana terdapat beberapa pasangan telah ditahan di sebuah hotel bajet di pusat bandar raya dan pesisiran Pantai Pasir Panjang,”katanya.

Operasi tersebut menurutnya juga dilakukan di beberapa kawasan tumpuan ramai seperti Tebingan Kuching dan beberapa taman rekreasi.

Selain kakitangan JAIS, turut sama dalam operasi tersebut ialah beberapa penguat kuasa daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching. Menurutnya lagi, kesemua pasangan tersebut dibawa ke ke Ibu Pejabat JAIS untuk diambil keterangan.

Pasangan yang disyaki berkhalwat itu akan dikenakan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara atau kedua-duanya jika disabit kesalahan. - UTUSAN BORNEO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan