Khamis, 2 Januari 2014

Kanak - Kanak Berusia 10 Tahun Ditemui Mati Lemas

Gambar Hiasan

SIBU: Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun ditemui mati lemas di sebuah kawasan Sungai Naman, dekat Durin di sini pagi semalam.

Ibu mangsa yang menyedari anaknya tiada di rumah pada jam 8 malam pada 31 Disember lalu meminta penduduk kampung dan saudara-mara mencari anaknya namun usaha mereka menemui jalan buntu.

Ibu mangsa hanya menjumpai lampu suluh yang masih menyala tidak jauh dari kawasan rumah, tetapi tidak juga menemui sebarang petunjuk anaknya.

Usaha mencari kanak-kanak tersebut terpaksa ditangguhkan keesokan harinya kerana keadaan terlalu gelap.

Pagi semalam, bapa saudara mangsa pergi ke Balai Polis Sentral Sibu untuk membuat laporan mengenai kehilangan mangsa.

Ketika membuat laporan mengenai kes tersebut, bapa saudara mangsa menerima panggilan daripada orang kampung memaklumkan kepadanya bahawa mangsa sudah ditemui mati lemas di sebuah kawasan yang dilanda banjir.

Polis dari Balai Polis Lanang dikerahkan ke tempat penemuan mayat untuk menjalankan siasatan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sibu untuk bedah siasat. Kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati lemas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan