Rabu, 1 Januari 2014

Lelaki Ancam Keselamatan Taib Ditangkap

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud

KUCHING: Seorang lelaki yang dipercayai terbabit mengeluarkan kenyataan berunsur ancaman terhadap keselamatan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Facebook, ditangkap polis malam kelmarin (Isnin).

Beralamat di Taman Kandis, Petra Jaya, lelaki berusia 33 tahun itu diberkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 9.20 malam bagi membantu siasatan.

Susulan penangkapan itu, suspek kini ditahan reman untuk tempoh tiga hari mulai semalam hingga 3 Januari ini. Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman yang mengesahkan penangkapan itu kepada pemberita pada satu majlis di Balai Polis Daerah Serian berkata suspek ditangkap susulan laporan polis diterima oleh Balai Polis Gita pada 28 Disember.

Justeru beliau menasihati orang ramai agar berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan di ruang siber bagi mengelakkan timbulnya masalah.

“Ada saluran untuk menyuarakan ketidakpuasan hati dan manfaatkan ia sebaik mungkin,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching DSP Amihizam Abdul Shukor berkata ketika ditahan suspek dipercayai baharu sahaja menghantar rakan ke lapangan terbang.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. - UTUSAN BORNEO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan