MIRI: Seorang pemuda didenda RM200 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret petang semalam kerana kesalahan melakukan ugutan jenayah terhadap majikannya.
Hukuman itu dijatuhkan Penolong Kanan Pendaftar Mohamad Redza Azhar Rezali setelah menimbangkan beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.
Hamezan Aron, 21, dari Kampung Wireless di sini telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati telah melakukan ugutan jenayah terhadap Muhammad Alfian Remli dengan mengeluarkan kata-kata berbunyi: “kalau kau tak bayar baki gaji, aku bakar kedai”, dengan niat hendak menyebabkan ketakutan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9.30 malam, 25 Jun lalu di tepi gerai No.12, Taman Seroja, Jalan Setia Raja di sini.
Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu hukuman yang ringan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya. Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor manakala tertuduh tidak diwakili - Utusan Borneo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan