Sabtu, 30 Jun 2012

Siah Pernah Bermimpi Didatangi ‘Pak Haji’

SARATOK: “Suara Siah masih terngiang-ngiang di telinga saya sewaktu dia menjerit meminta pertolongan kami yang berada dekat di situ,” kata Tuai Rumah Embol Asom, dari Sungai Anak Pelunga, Roban.

Embol berkata, beliau kesal kerana tidak dapat menyelamatkan isterinya daripada dibaham buaya ganas yang digembar-gemburkan dengan nama Bujang Seblak itu.

“Kami sudah sedaya upaya untuk mengeluarkan Siah daripada rahang buaya itu dengan bantuan rakan yang lain, namun tidak berjaya dan saya akur Tuhan lebih sayangkan dia untuk pergi dulu,” katanya.

Embol menceritakan, beliau masih teringat bahawa mendiang isterinya pernah bermimpi dan menceritakan mimpinya kepadanya keesokan hari.

“Seminggu sebelum kejadian, mendiang menceritakan mimpinya bertemu dan didatangi oleh seorang Pak Haji yang tidak dikenalinya.

“Pak Haji itu berkata padanya bahawa di sungai itu masih lagi ada seekor buaya ganas dan buaya di sungai itu nanti akan meminta satu lagi nyawa salah seorang penduduk di sini,” katanya.

Embol menambah, ‘Pak Haji’ itu juga memberi amaran supaya berhati-hati dan bila-bila masa saja buaya itu akan mencari dan mengambil nyawa serta mengancam sesiapa saja di rumah panjang itu.

“Sejurus selepas mendengar mendiang menceritakan semua mimpinya, saya mengarahkan penduduk rumah panjang ini mengadakan upacara ‘miring’ dan tolak bala pada malamnya untuk berdoa kepada Tuhan bagi memberkati permintaan dan mendapat perlindungan daripada sebarang ancaman,” katanya.

Beliau percaya ramalan daripada mimpi tersebut adalah tidak baik kepada kaum Iban dan tidak menyangka perkara itu benar-benar terjadi.

“Selepas kami melakukan upacara ‘miring’ kami berharap apa yang dimimpikan oleh mendiang akan hilang dan lenyap terus tetapi kini ia menjadi kenyataan dan ia betul-betul datang untuk mengambil nyawa isteri saya sendiri,” katanya dengan nada sedih.

Beliau juga tidak menyangka mimpi yang diceritakan oleh mendiang Siah menjadikan dia mangsa keempat oleh Bujang Seblak.

“Saya bertekad untuk mencari dan memburu buaya tersebut sehingga dapat dan ia menjadi dendam kesumat kepada kami sekeluarga selagi buaya tersebut belum ditemui.

“Kami percaya, buaya tersebut ada kaitan dengan tiga mangsa sebelum ini dan buaya itu adalah sama yang telah mengorbankan mangsa (Siah),” katanya lagi - Utusan Borneo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan