Saiful Apek bersyukur selepas dibebaskan daripada tuduhan mengambil dadah.
PETALING JAYA – Pelawak dan pelakon komedi terkenal, Saiful Apek gembira dan bersyukur selepas dirinya dilepas dan dibebaskan Mahkamah Majistret di sini semalam tanpa dipanggil membela diri berhubung tuduhan mengambil dadah ganja di sebuah kondominium, dua tahun lalu.
“Saya bersyukur dan percaya pada undang-undang, doa peminat membuktikan saya tidak bersalah, dan tidak lupa terima kasih kepada peguam,” kata Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular 2003 itu dengan nada terharu kepada pemberita sejurus prosiding berakhir.
Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid turut membuat keputusan serupa terhadap tiga lagi rakan tertuduh iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28, Shaiful Baharom, 24, dan Noremy Mohamad, 28, yang didakwa atas tuduhan yang sama dengan Saiful Apek, 43.
Beliau dalam penghakiman berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh. Menurut Ahmad Solihin, berdasarkan keterangan saksi dan fakta kes, wujud lima elemen yang gagal mensabitkan kesemua tertuduh bagi tuduhan tersebut.
Ahmad Solihin memberitahu, antaranya terdapat percanggahan oleh saksi berhubung tarikh pengambilan sampel air kencing malah pegawai penyiasat kes juga menyimpan botol sampel tersebut terlalu lama sebelum ujian pengesanan dadah di makmal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan