Erma Fatima
PUNCAK Gunung Kinabalu menjadi bukti cinta aktres Tiz Zaqyah dan aktor Aqasha di dalam drama bersiri terbaharu lakonan mereka yang berjudul, Dejavu di Kinabalu.
Drama arahan pengarah terkenal, Erma Fatima itu buat pertama kalinya menggandingkan mereka berdua sebagai pasangan kekasih meskipun sebelum ini pernah bekerjasama dalam drama Oh! Suzana.
Ketika sesi pratonton drama 28 episod itu yang diadakan di Preview Lounge, Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara baru-baru ini, keserasian luar biasa antara Tiz dan Aqasha jelas terpancar.
“Buat pertama kalinya saya mengarah drama penuh cinta sebelum ini semua drama saya agak berat dan pertama kalinya saya sendiri jatuh cinta dengan watak hero serta heroin. Keserasian yang diberikan mereka cukup berbeza sehingga kita yang menontonnya terasa perasaan cinta itu, tetapi mereka hanya bercinta di dalam drama sahaja,” jelas Erma berseloroh.
Disoal mengapa memilih Gunung Kinabalu sebagai subjek utama di dalam drama tersebut, kata Erma, dia mencari kelainan daripada drama yang pernah ditayangkan sebelum ini.
“Setiap drama arahan saya, pemandangan indah merupakan satu perkara wajib sebab itu saya pilih Gunung Kinabalu.
“Sebenarnya lokasi Gunung Kinabalu itu menyusahkan diri saya sendiri kerana di dalam skrip terdapat babak di atas puncak gunung.
“Bayangkan saya yang tidak pernah mendaki gunung terpaksa naik sehingga ke puncak. Saya marah dengan diri saya kerana memilih jalan yang sukar dan seksa diri sendiri, tetapi melihat hasilnya semua orang berpuas hati,” jawab Erma yang memberitahu lima orang daripada kru penggambaran tidak dapat meneruskan perjalanan ke puncak gunung.
Jelas Erma lagi, kesukaran yang dihadapinya, selain cuaca yang tidak menentu selain kebanyakan kru serta pelakon yang terlibat tidak memiliki stamina yang cukup.
“Saya hampir menyerah kalah tidak mahu daki ke puncak tetapi fikir balik, rugi pula sudah sampai gunung tetapi tidak sampai ke puncak.
“Nasib baik, selesai sahaja penggambaran di atas puncak hujan turun dengan lebat. Perjalanan turun ke bawah, cabaran untuk kami lagi. Selepas ini, saya akan kembali ke Gunung Kinabalu untuk mendaki dengan persediaan yang cukup,” tutur Erma sambil tersenyum.
Peneraju watak utama Aqasha sebagai Ammar Zulkarnain mengakui cukup seronok sepanjang penggambaran drama Dejavu di Kinabalu berlangsung.
“Bekerja dengan Tiz cukup mudah kerana dia bijak memberi tindak balas terhadap lakonan saya. Tiz juga seorang yang cukup artistik dan sangat berbakat,” ujar Aqasha.
Tambah Aqasha lagi, saat paling tidak boleh dilupakan sudah pasti berada di puncak gunung dan menyaksikan matahari terbit.
“Jiwa saya ketika di atas puncak itu sangat berbeza, begitu juga dengan Tiz. Keserasian kami cukup luar biasa ketika di atas puncak, apabila kami turun ke bawah perasaannya berbeza,” jawab Aqasha.
Tiz yang pertama kali mendaki sehingga ke puncak Gunung Kinabalu cukup teruja apabila diberitahu terdapat babak di atas puncak gunung oleh pengarah.
“Saya suka pekerjaan saya, jika tidak kerana berlakon saya tidak akan menjejakkan kaki ke atas puncak Gunung Kinabalu, tidak terfikir pun untuk ke sana,” ujarnya.
Menurut Tiz yang memegang watak Dalilah Nadira, bekerja dengan Aqasha dalam drama yang mengambil masa selama tiga bulan penggambaran termasuk 10 hari di Sabah itu cukup mudah.
“Senang bekerja dengan Aqasha kerana dia berlakon secara semula jadi tanpa dibuat-buat. Seronok bekerja dengannya, juga dengan seluruh tenaga produksi yang dirasakan seperti sebuah keluarga,” tutur Tiz.
Drama Dejavu di Kinabalu sudah mula ditayangkan di slot Akasia pada 18 Jun lalu setiap Isnin sehingga Khamis pada pukul 7 malam di TV3 mengisahkan Aamar yang masih merindui kekasihnya Inara yang telah meninggal dunia tiga tahun yang lalu.
Nadira yang merupakan seorang pesakit yang menerima pemindahan jantung tanpa disedari menerima sebahagian sifat penderma jantung itu. Itulah yang membuatkan perasaannya terbuai saat berdekatan dengan Ammar.
Coretan - Best sesangat cerita ni...minat kalau Aqasha yang berlakon. Sejak dulu, kalau Erma buat drama memang Aqasha jadi hero dan Umie Aida jadi heroin...hehehe... Kalau Aqasha berlakon drama romantik memang best...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan