Sabtu, 30 Jun 2012

Wanita Dakwa Dipukau Dan Dirogol

KUCHING: Seorang wanita dari Taman Three Hills mendakwa dirinya dipukau dan kemudian dirogol oleh seorang bomoh ketika mengiringi suaminya yang ‘dirasuk’ mendapatkan rawatan, kelmarin.

Memburukkan keadaan bagi wanita berusia 30 tahun itu, apabila suaminya bertindak mengusirnya dari rumah mereka selepas rawatan tersebut kerana si suami mendakwa tidak mengenalinya lagi.

Menurut sumber, wanita itu membawa suaminya ke rumah bomoh berkenaan di Siburan pada petang kelmarin untuk mendapatkan rawatan kerana si suami dikatakan ‘dirasuk.’

Bagaimanapun, mangsa dikatakan tiba-tiba mengalami keadaan khayal semasa suaminya dirawat.

Apabila sedar, dia mendapati dirinya berbaring di atas katil di dalam bilik bomoh terbabit serta tidak berpakaian.

Mangsa turut mengalami kesakitan pada kemaluannya dan serta-merta mengesyaki dia telah dirogol oleh si bomoh yang menafikan sebarang salah laku.

Sementara itu, keadaan si suami kelihatan lebih teruk selepas rawatan kerana dia seakan-akan tidak ingat sama sekali siapa isterinya dan seterusnya mengusirnya dari rumah mereka.

Ekoran insiden itu, mangsa membuat laporan polis terhadap bomoh berkenaan dan semalam menjalani pemeriksaan kesihatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ketua Superintenden Pauzi Bujang mengesahkan ada menerima laporan mengenai insiden berkenaan ketika dihubungi semalam dan kes itu masih disiasat dan tiada tangkapan dibuat setakat ini - Utusan Borneo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan