Selasa, 26 Jun 2012

Pasar Sebuyau Ranap

Anggota bomba berusaha memadamkan api yang marak memusnahkan 30 pintu rumah kedai di Sebuyau, kelmarin.

SEBUYAU: Sebanyak 30 pintu rumah kedai kayu dua tingkat yang berusia lebih 50 tahun di sini ranap dijilat api sekali gus menjadikan sekurang-kurangnya 200 penghuni tinggal sehelai sepinggang, kelmarin. Antara rumah kedai yang musnah dalam kebakaran yang berlaku hampir tengah malam itu adalah 13 kedai runcit, enam kedai makan, dua kedai perabot, lima stor dan sebuah blok pasar basah.

Manakala umur penghuni yang terjejas dalam insiden itu adalah dari setahun hingga 75 tahun. Salah seorang mangsa, Tan Kei Song, 42 tahun memberitahu, keluarganya yang tinggal di atas kedai kopi yang diwarisi selama tiga generasi tidak sempat menyelamatkan sebarang harta benda.

Apa yang lebih dikesali, katanya mereka sekeluarga baharu sahaja melabur sebanyak RM20,000 untuk tujuan pengubahsuaian premis termasuk kediaman mereka pada minggu lalu.

“Api marak dengan pantas sekali. Dalam sekelip mata sahaja kami kehilangan segala-galanya,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo, semalam.

Beliau melahirkan harapan agar kerajaan dapat menghulurkan bantuan segera kepada mangsa kebakaran dan membina semula bangunan kedai tersebut.

“Kami tahu ia tidak dapat dijalankan dalam masa yang singkat, paling awal pun dua atau tiga tahun.

“Jadi buat sementara waktu kami terpaksa menumpang di rumah sanak-saudara di Kuching… apa boleh buat,” katanya.

Antara yang turut menjadi mangsa tragedi tersebut adalah pemilik kedai perabot yang baharu sahaja menjalankan perniagaan di daerah kecil ini, iaitu tidak kurang daripada dua bulan.

Warga Pakistan yang hanya ingin dikenali sebagai Azlan, 24, memberitahu, dia dimaklumkan mengenai insiden malang itu sekitar jam 3 pagi oleh rakannya.

“Hati saya berdebar-debar ketika mendengar berita tersebut. Tidur pun tidak lena kerana saya amat teringin untuk pergi ke lokasi tetapi atas faktor ketiadaan perkhidmatan feri pada waktu itu, saya terpaksa membatalkan hasrat dan menunggu sehingga jam 6 pagi,” katanya.

Azlan yang tinggal di Sadong Jaya, menganggarkan jumlah kerugian yang dialami dia dan abangnya adalah melebihi RM100,000.

Kapitan Liew Ching Sen memberitahu, mereka menyedari mengenai kebakaran itu setelah mendengar bunyi penggera bomba sukarela yang dibunyikan oleh penjaga kawasan tersebut.

Menurutnya, komuniti perniagaan ada mengupah beberapa peronda untuk menjaga ketenteraman di kawasan tersebut dan merekalah yang mengetuk pintu semua mangsa dan membunyikan penggera tersebut.

Kedai runcit milik beliau turut nyaris dimusnahkan api tetapi beliau bersyukur kerana ia dapat dikawal lebih awal.

Liew percaya faktor pengubahsuaian kedai runcit kayu miliknya itu kepada konkrit 10 tahun lepas sedikit sebanyak menyelamatkan blok yang sederet dengannya.

“Kami juga amat bernasib baik kerana bomba sempat menghalang api daripada merebak, kalau tidak saya rasa kebakaran itu akan turut memusnahkan dua lagi blok rumah kedai termasuk stesen minyak yang terletak 500 meter dari sini,” kata-nya.

Beliau memberitahu, semua mangsa yang tidak mempunyai tempat berteduh akan ditempatkan di SRB Chung Hua buat sementara waktu.

Menteri Muda Kemajuan Luar Bandar Julaihi Narawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sebuyau memberitahu, beliau amat dukacita melihat keadaan yang berlaku ke-rana ia merupakan kebakaran kedua melibatkan kawasan Sebuyau.

“Sebagai tindakan awal, saya akan mengadakan mesyuarat tergempar dengan semua mangsa termasuk ke-tua kaum, ketua jabatan yang ada di daerah kecil Sebuyau dan Simunjan.

“Saya mahu membincangkan langkah perlu untuk diambil segera untuk membantu mangsa kebakaran ini,” katanya. Julaihi menambah, beliau akan menubuhkan Jawatankuasa Bencana Sebuyau.

Julaihi turut memperuntukkan geran sebanyak RM15,000 manakala Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Jerip Susil yang turut berada di lokasi, RM5,000 dan daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak, RM3,000.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak PPjB Abdul Halim Moha-med Jadi memberitahu, balai bomba Simunjan menerima panggilan pada jam 12.01 pagi dan sebuah jentera tiba di lokasi pada jam 12.58 pagi manakala Bomba Sukarela Sebuyau tiba di lokasi jam 12.15 pagi.

“Dengan kekuatan 12 orang anggota yang diketuai oleh Ketua Balai Sekan Gundah, dibantu oleh bomba sukarela dan agensi lain, termasuk penduduk kampung, kami dapat mengawal kebakaran pada jam 1.47 pagi,” katanya. Beliau memaklumkan, tidak ada sebarang kecederaan mahupun kematian dilaporkan. Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan - Utusan Borneo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan