Jabatan Pertahanan Awam berusaha mengumpan buaya terbabit dengan menggunakan ayam.
MIRI - Kehadiran dua ekor buaya bersaiz kira-kira sepanjang dua meter di Sungai Adong dekat sini, menyebabkan penduduk Kampung Pujut Corner berada dalam keadaan ketakutan.
Salah seorang penduduk kampung yang dikenali sebagai Voong, 56, berkata, dua ekor buaya tersebut didapati sering berjemur di tepi pasir landai sungai berkenaan sejak dua hari lalu.
"Kemunculan dua ekor buaya itu dibimbangi membahayakan keselamatan penduduk kampung khususnya kanak-kanak yang sering bermain dan mandi di sungai tersebut.
"Selagi buaya ini tidak ditangkap, tidak mustahil akan ada mangsa yang bakal dibaham dan kami akan hidup dalam ketakutan," katanya ketika ditemui di Utusan Malaysia dekat sini semalam. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata penduduk kampung terkejut dengan kehadiran dua ekor buaya berwarna kekuningan itu sejak dua hari lalu.
Sementara itu, Voong berkata, kali terakhir penduduk kampung melihat reptilia berkenaan muncul di sungai tersebut pada tahun lalu. Katanya, walaupun tiada laporan buaya berkenaan mengganggu atau mengancam penduduk kampung namun mereka bimbang sekiranya reptilia itu tiba-tiba bertindak ganas.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Miri, berkata, seramai tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan penduduk kampung kira-kira pukul 3.30 petang semalam. Katanya, pihaknya kini sedang melakukan pelbagai usaha untuk mengumpan buaya terbabit termasuk menggunakan ayam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan