Isnin, 25 Jun 2012

Lelaki Ditemui Dalam Keadaan Cedera Parah Di Tepi Jalan

Mangsa, 33 tahun dibantu oleh anggota JPAM.

KUCHING: Seorang lelaki separuh abad ditemui terbaring dalam keadaan cedera parah di tepi jalan, berdekatan sebuah kampung di Sadong Jaya, awal pagi semalam. Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala, tengkuk dan retak tangan mendakwa dirinya dilanggar pada awal pagi semalam. Bagaimanapun, kenderaan yang melanggarnya tidak berhenti untuk membantu atau melihat keadaan mangsa.

Lelaki berkenaan dijumpai oleh penduduk kampung yang kebetulan melalui jalan tersebut, yang seterusnya memaklumkan perkara itu kepada keluarga mangsa. Mangsa dibawa ke sebuah klinik sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) sekitar jam 10 pagi semalam.

Sementara itu, seorang lelaki berusia 33 tahun mengalami kecederaan ringan setelah Proton Gen2 yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta modul Naza di Jalan Lapangan Terbang, lewat malam kelmarin.

Dalam insiden sekitar jam 11 malam itu, lelaki berasal dari Kampung Tabuan yang ingin menuju ke arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching itu dikatakan gagal berhenti ketika lampu trafik berwarna merah.

Namun pemandu kereta Naza bersama isteri dan dua anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pasukan penyelamat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu mangsa - Utusan Borneo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan