Sabtu, 30 Jun 2012

Populasi Buaya Bi Sg Bako Meningkat

KUCHING: Populasi buaya di Sungai Bako dipercayai meningkat dua kali ganda berbanding awal tahun 80-an. Mengimbas kembali tahun 1982, tiga ekor buaya ditemui bagi setiap 10 kilometer sungai, namun sejak akhir-akhir ini bilangannya meningkat kepada enam ekor, kata Pemangku Timbalan Pengurus Besar Sarawak Forestry Corporation (SFC) Bahagian Pemuliharaan Biodiversiti dan Kawasan Lindungan, Oswald Braken Tisen.

“Bagaimanapun, kita tidak dapat memberitahu sebetul-betulnya mengenai populasi buaya kerana kebanyakannya menetas,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Oswald menambah, terdapat anak buaya yang baharu menetas mungkin dimakan buaya lain sebelum dewasa.

“Saintis mendapati hanya satu daripada beribu telur selamat manakala buaya mampu bertelur 30 hingga 50 biji setahun,” ujarnya.

Sementara itu, Kontroler Hidupan Liar, Ali Yusof berkata, permit untuk membunuh buaya sudah dikeluarkan.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bilangan permit yang dikeluarkan setakat ini.

Mengulas mengenai insiden buaya menyerang manusia, Oswald memberitahu, ia memang kerap berlaku disebabkan naluri semula jadi reptilia berkenaan.

“Buaya dilahirkan untuk menggigit. Kebanyakannya menyerang apabila manusia menggunakan air sungai sekali gus berinteraksi dengan habitat,” jelasnya - Utusan Borneo
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan