Khamis, 10 Januari 2013

Sonamu Mungkin Badai Mukah

Menunjukkan peta pergerakan Sonamu yang dijangka membadai Mukah esok

KUCHING: Penduduk di beberapa kawasan terutama berhampiran pantai di Bahagian Mukah diminta bersiap sedia menghadapi kemungkinan Ribut Tropika Sonamu yang diramal membadai pada 11 Januari.

Susulan itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Misnu Taha berkata, ribut yang sebelum ini diramal akan membadai Terengganu kini berada kira-kira 400 kilometer dari pantai Mukah.

Misnu berkata, kawasan lain yang mungkin turut menjadi sasaran ribut berkenaan yang setakat semalam masih bergerak dalam kelajuan 60 kilometer sejam ialah Bahagian Bintulu dan Sibu.

Kawasan-kawasan terbabit kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dengan bilik gerakan di Pejabat Residen masing-masing mula diaktifkan dan beroperasi 24 jam.

Manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, tentera, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diletakkan di barisan hadapan bagi berdepan sebarang kemungkinan kesan ribut.

“Kedudukan ribut ini sekarang berada sangat hampir dengan Mukah,” katanya sambil menambah kelajuan ribut setakat pagi semalam ialah 60 kilometer sejam, dan ia boleh meningkat atau menurun.

Misnu pada sidang media selepas mesyuarat penyelarasan menghadapi ancaman Ribut Tropika Sonamu di sini semalam turut menasihati orang ramai atau nelayan agar tidak ke laut sehingga 13 Januari.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab pada sidang media yang sama menasihati orang ramai agar tidak memandang remeh amaran dan arahan dikeluarkan pihak berkuasa.

Menurutnya, Sonamu akan menyebabkan laut bergelora dengan ombak yang tinggi dan berbahaya kepada bot-bot nelayan.

“Ribut berkenaan juga disertai dengan angin kencang dan hujan lebat manakala kawasan yang rendah mungkin dilanda banjir,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi dalam kenyataan semalam berkata hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dijangka berlaku di beberapa bahagian di Sarawak bermula hari ini hingga Sabtu ini.

Keadaan itu boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah, katanya sambil menambah daerah yang terlibat ialah Kuching, Samarahan, Betong, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga dengan kelajuan angin timur laut dari 60 km/j dan ombak melebihi 4.5 meter di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Samui, Tio-man, Condore, Reef North, Layang-layang dan Palawan.

Amaran kategori kedua iaitu angin kencang timur laut berkelajuan 50-60 km/j dengan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter pula dikeluarkan untuk kawasan perairan Sarawak (Rajang, Mukah, Bintulu dan Miri), Labuan, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat) dan Reef South.

Angin kencang dan laut bergelora itu dijangka berterusan sehingga Ahad, 13 Januari dan keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai serta perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak, menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dengan kelajuan angin 40-50 km/j dan ombak setinggi 3.5 meter dijangka berlaku sehingga 13 Januari di perairan Sarawak (Kuching), Sabah (Sandakan), Bunguran dan Sulu.

Kawasan pantai di Sarawak (Kuching) turut terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut, dan dijangka berterusan sehingga Jumaat, 11 Januari. Keadaan itu berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. - UTUSAN BORNEO


Tiada ulasan:

Catat Ulasan