Jumaat, 11 Januari 2013

Sebahagian Penduduk Sibu Bergelap


SIBU: Sebahagian daripada penduduk bandar ini terpaksa bergelap malam kelmarin selepas mengalami gangguan bekalan elektrik selama hampir sejam.

Gangguan bekalan mula berlaku kira-kira jam 9.10 malam serta berlarutan hampir sejam, sekali gus menyebabkan banyak kawasan dalam keadaan gelap.

Menurut seorang penduduk yang terjejas, Jeffreyson David, 41, beliau sedang menonton televisyen di rumah ketika gangguan bekalan berlaku.

“Kami sekeluarga baharu sahaja habis menonton berita dalam televisyen sebelum bekalan elektrik tiba-tiba terputus. Keadaan dalam rumah kemudian gelap-gelita,” ujarnya. 

Jeffreyson memberitahu, mujurlah mereka sekeluarga ada menyimpan lilin untuk kegunaan kecemasan seperti yang berlaku malam kelmarin.

“Malang juga bagi jiran-jiran yang tidak mempunyai lilin dan terpaksa bergelap,” katanya sambil menambah gangguan bekalan malam kelmarin adalah yang pertama pada tahun ini.

Sementara menurut sumber SESCo Berhad, gangguan berlaku di dua pertiga kawasan di bandar Sibu kecuali di Jalan Lanang dan Salim.

“Kawasan selebihnya di bandar Sibu terjejas,” ujarnya sambil memberitahu bahawa pekerja SESCo telah berusaha memperbaiki masalah serta mengembalikan bekalan elektrik ke kawasan terjejas.

Gangguan malam kelmarin juga telah menyebabkan ramai peniaga atau perniagaan menutup operasi mereka lebih awal bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan