Jumaat, 11 Januari 2013

Tiada Lagi Ancaman Sonamu

Keadaan cuaca agak mendung yang dirakamkan di muara Sungai Kemena, Bintulu

KUCHING: Pesisir pantai bahagian Mukah, Bintulu dan Sibu selamat daripada dibadai Ribut Tropika Sonamu apabila amaran berjaga-jaga ditarik balik kira-kira pada jam 10 pagi semalam.

Jabatan Meteorologi menerusi kenyataan akhbar yang difakskan Jabatan Penerangan Sarawak semalam berkata Sonamu menjadi semakin lemah, tidak bergerak dan lenyap.

“Namun begitu, hujan lebat peringkat kuning dan amaran angin kencang kategori dua masih dikekalkan untuk negeri Sarawak.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini amat berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan, pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” kata kenyataan itu.

Kelmarin menerusi Mesyuarat Tindakan Menghadapi Ancaman Ribut Tropika Sonamu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Misnu Taha meminta penduduk di tiga kawasan berkenaan bersiap sedia dengan kemungkinan Sonamu melanda.

Sebarang aktiviti laut oleh para nelayan juga dinasihati agar dihentikan.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab ketika dihubungi menjelaskan bahawa pergerakan ribut berkenaan telah beralih arah ke Australia.

“Sekarang ribut semakin lemah dan telah menghala ke arah Australia dengan dinamakan Ribut Narelle.

“Bagaimanapun kami masih menasihati orang ramai agar masih berada dalam keadaan bersiap sedia dan jangan mendekati kawasan pantai atau laut kerana ia masih bergelora,” katanya. Katanya Sonamu telah berhenti dan tidak sampai ke kawasan pantai Mukah atau Kuching.

Mengulas mengenai kejadian hujan dan ribut yang berlaku di Mukah semalam, Mohamed Thajudeen berkata ia hanya tempias daripada ribut Sonamu yang sebenar.

“Apa yang berlaku di Mukah itu sekarang adalah tempias sahaja kerana ribut Sonamu yang sebenar adalah lebih hebat daripada itu,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu bahawa sehingga kini MKN masih belum menerima sebarang laporan atau aduan daripada orang ramai mengenai perkara berkenaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan