Isnin, 14 Januari 2013

Rela Ambil Risiko Daripada Guna Jejantas

Membahayakan nyawa dengan memanjat pagar besi untuk melintasi jalan

MIRI: Walaupun kemudahan jejantas telah disediakan untuk pejalan kaki yang terletak di pusat beli-belah Boulevard Miri-Pujut di sini, namun masih terdapat segelintir pejalan kaki yang tidak mengendahkan kemudahan yang disediakan.

Bahkan pagar besi pembahagi antara jalan raya yang bertujuan mengelakkan pejalan kaki melintas jalan raya, sebaliknya menggunakan perkhidmatan jejantas juga dirosakkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Fong Pau Teck ketika dihubungi memberitahu pihak berkuasa tempatan perlu memperketatkan undang-undang dan mengadakan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memantau serta memastikan jejantas digunakan sebaiknya.

“Kita perlu memperketatkan undang-undang untuk memastikan masyarakat setempat khususnya pejalan kaki menggunakan kemudahan jejantas yang telah disediakan.

“Kita harus bertanggungjawab terhadap keselamatan diri, oleh itu gunakan kemudahan yang telah disediakan agar tidak berlaku sebarang kemalangan yang tidak diingini.

“Sehubungan itu, pemeriksaan dari semasa ke semasa perlu diadakan oleh pihak berkuasa bagi memastikan pejalan kaki mematuhi peraturan dan bukannya melintas jalan raya sebagai jalan pintas,” jelasnya.

Beliau turut menggesa pejalan kaki agar tidak mengambil risiko membahayakan diri melintas jalan raya terutama pada waktu puncak tanpa menggunakan jejantas tersebut.

Di samping itu, beliau turut mahu pihak berkuasa tempatan mengeluarkan iklan atau inisiatif lain bagi mengingatkan masyarakat tentang kesedaran mementingkan keselamatan diri.

“Ini akan membantu meningkatkan kesedaran pejalan kaki serta mengingatkan mereka betapa bahayanya melintas jalan tanpa menggunakan jejantas,” tambahnya.


Coretan : Sayangilah nyawa, gunakan jejantas yang telah disediakan untuk melintas jalan. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan