Isnin, 21 Januari 2013

Berlindung Di Bawah Jeti

Tammy Holmes berlindung di bawah sebuah jeti bersama cucu-cucunya

HOBART - Sebuah keluarga di Australia terselamat daripada maut dengan berlindung di bawah sebuah jeti apabila kediaman mereka musnah dalam satu kebakaran hutan, lapor akhbar MailOnline semalam

Bencana tersebut yang berlaku di Dunalley, Pulau Tasmania baru-baru ini menyebabkan sekitar 90 kediaman di bandar itu musnah.

Dalam insiden itu pasangan suami isteri Tim dan Tammy Holmes terpaksa berlindung di bawah jeti tersebut bersama lima cucu mereka terpaksa berlindung di bawah jeti berkenaan selama lebih dua jam.

Ketika api bertambah marak dan bekalan oksigen semakin berkurangan akibat asap tebal, mereka masih berpaut pada struktur kayu itu sambil memeluk satu sama lain dengan harapan dapat keluar daripada situasi berbahaya itu.

Keluarga tersebut kemudian bergilir-gilir memadamkan api yang mula membakar jeti tersebut dengan mencurahkan air laut.

Selepas berlindung selama dua setengah jam, Tim akhirnya berjaya menemui sebuah perahu yang digunakan oleh mereka untuk keluar dari zon berbahaya itu.

"Kami menerima mesej menyatakan ibu dan bapa serta anak-anak saya dikelilingi api yang marak. Ketika itu, saya dan suami pasrah bahawa kami akan kehilangan mereka," kata anak perempuan Tim, Bonnie Walker dalam temu bual bersama rangkaian televisyen Australia, ABC.

Menurutnya, dia dan keluarganya bersyukur kepada Tuhan kerana mereka terselamat dalam kebakaran hutan itu yang berlaku ketika Australia dilanda suhu panas ekstrem. - Agensi




Tiada ulasan:

Catat Ulasan