Isnin, 14 Januari 2013

Tinggal Sehelai Sepinggang


MIRI: Kira-kira 100 pekerja buruh binaan tinggal sehelai sepinggang apabila rumah pekerja yang didiami mereka di Taman Marina di sini, musnah dalam kebakaran yang berlaku pada jam 8 pagi semalam.

Kebakaran tersebut telah meranapkan kesemua tiga blok kediaman pekerja terbabit yang dibina daripada kayu dan menempatkan 60 bilik.

Kebanyakan penghuninya ialah buruh warga Indonesia di samping sejumlah kecil warga asing lain dan pekerja tempatan.

Ketika kejadian, kebanyakan pekerja berada di tapak pembinaan dan tidak sempat menyelamatkan semua barangan berharga mereka termasuk dokumen penting milik masing-masing.

“Kami benar-benar terperanjat apabila dikejutkan dengan suara orang menjerit memberitahu kebakaran berlaku di rumah pekerja itu dan sebaik kami sedar asap tebal serta api sudah mula kelihatan,” jelas seorang pekerja yang ditemui ketika kejadian.

“Kejadian itu menyebabkan saya tinggal sehelai sepinggang, malah dokumen perjalanan serta permit kerja turut musnah dalam kebakaran itu,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Vivah, berasal dari Indonesia.

Sementara seorang lagi penghuni di rumah pekerja tersebut, Salleh Dol, 40, memberitahu bahawa dia sedang tidur ketika dikejutkan dengan teriakan ‘api’, ‘api’ oleh orang ramai menyebabkan keadaan panik dengan masing-masing keluar menyelamatkan diri.

“Oleh kerana terlalu cemas, saya terus keluar bilik sebelum mendapati api sudah membakar dua blok rumah pekerja berkenaan menyebabkan saya tidak sempat menyelamatkan barang-barang milik saya serta sejumlah wang tunai yang disimpan dalam beg duit yang masih tertinggal di bilik,” katanya.

Salleh memberitahu, api dipercayai mula membakar sebuah daripada blok rumah pekerja terbabit sebelum merebak dengan pantas ke dua blok berhampiran.

“Kejadian berlaku begitu pantas kerana rumah kami diperbuat daripada kayu dan papan sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Miri Ali Bema Jelik berkata sebaik menerima panggilan kecemasan, tiga jentera bersama 17 anggota terus dikerah ke tempat kejadian.

Namun katanya, sebaik tiba di tempat kejadian api sudah membakar keseluruhan sekali gus memusnahkan rumah pekerja berkenaan.

“Struktur rumah tersebut yang diperbuat daripada papan lapis dan jaraknya yang berdekatan antara satu sama lain menyebabkan api merebak begitu pantas.

“Siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca serta jumlah kerugian sebenar kejadian itu,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan