Sabtu, 12 Januari 2013

Kenderaan JPJ Didakwa Punca Kemalangan



IPOH - Kenderaan rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sri Manjung dirosakkan dan diterbalikkan orang awam kerana didakwa punca kemalangan di lampu isyarat berhampiran Sekolah Menengah Methodist pekan Air Tawar dekat sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung DSP Ahmad Mat Isa berkata dalam kejadian 12.20 tengah hari itu, pacuan empat roda jenis Toyota Fortuner dinaiki tiga anggota JPJ berhenti di lampu isyarat sebelum kemalangan berlaku melibatkan dua lori, dua bas sekolah, empat kereta dan sebuah motosikal.

"Kereta JPJ itu berhenti kerana lampu merah. Semasa menunggu lampu hijau tiba-tiba lori yang membawa kelapa sawit dari arah Ipoh telah melanggar kenderaan JPJ itu kemudian membabitkan pula lapan kenderaan lain di belakang,” katanya ketika dihubungi.

Ahmad berkata kira-kira 30 orang awam di kawasan itu menyerbu ke arah anggota JPJ berkenaan dan menuduh mereka menyebabkan berlakunya kemalangan itu.

"Oleh kerana takut kakitangan JPJ lari meninggalkan kereta mereka dan menumpang kenderaan awam untuk membuat laporan di Balai Polis Sri Manjung,” katanya.

Beliau berkata 15 orang yang cedera dalam kejadian itu dihantar ke Hospital Sri Manjung untuk rawatan dan polis sedang menyiasat punca kemalangan. - BERNAMA







Gambar - FB Jasworld Lim


Tiada ulasan:

Catat Ulasan