Jumaat, 11 Januari 2013

Ular Punca Bekalan Elektrik Terputus

Dua unit transformer 132/33KV di Substesen Deshon mengalami pintasan

KUCHING: Bekalan elektrik kembali pulih di Sibu kurang daripada dua jam selepas berlaku pintasan di substesen Deshon kelmarin.

Insiden itu menjejaskan beberapa kawasan di Sibu termasuk daerah perniagaan Sentral pada jam 9.07 malam.

Pengurus Wilayah Tengah Sarawak Energy Choo Min Chong berkata, juruteknik segera dikerah selepas berlaku insiden bagi memastikan bekalan elektrik segera pulih dengan cepat.

“Tenaga elektrik dipulihkan sepenuhnya pada jam 10.14 malam,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.

Dua unit transformer 132/33KV di Substesen Deshon mengalami pintasan disebabkan seekor ular yang naik ke atas ‘bus bar’ (batang besi yang membawa arus berat untuk membekalkan beberapa litar elektrik) terbuka hingga menyebabkan pancaran elektrik di ‘bus bar’ tersebut.

Malangnya, peralatan yang sepatutnya mengasingkan kerosakan awal tidak berfungsi.

Ini menyebabkan satu lagi pintasan di dua unit transformer 132/33KV menyebabkan gangguan elektrik menjejaskan kawasan yang lebih luas.

“Kami amat kesal dengan sebarang kesulitan dan ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami di Sibu atas kesabaran mereka sementara kerja pemulihan dibuat,” kata Choo.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan