Kereta peronda polis jenis Waja, remuk di bahagian belakang.
MIRI: Dua anggota polis peronda dan seorang wartawan wanita cedera parah selepas dilanggar pemandu mabuk yang hilang kawalan ke atas kenderaannya dalam kejadian di Jalan Miri-Pujut awal pagi semalam. Sebelum kes yang berlaku pada jam 3 pagi itu, tiga anggota polis peronda telah berhenti untuk membantu menyelesaikan satu kes kemalangan kecil yang melibatkan sebuah kereta Proton Wira dan Kancil.
Turut berada di lokasi ialah seorang wartawan jenayah daripada sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina, yang mengambil gambar kes kemalangan kecil terbabit.
Pemandu mabuk terbabit yang menaiki kereta Satria Neo berwarna merah tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh kereta peronda polis dan kereta Proton Wira terbabit yang berada di tepi jalan, hingga mencederakan kedua-dua anggota polis yang sedang bertugas dan wartawan terbabit.
Ketiga-tiga mereka mengalami cedera parah dan dikejarkan ke hospital manakala seorang lagi anggota polis peronda yang masih berada di tempat duduk pemandu hanya mengalami cedera ringan.
Manakala orang lain yang berada di sekitar termasuk pemandu kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan kecil sebelumnya, berjaya mengelak daripada perlanggaran tersebut.
Pemandu mabuk terbabit kemudiannya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk disiasat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan