Khamis, 14 Jun 2012

Waris Kembali Lagi...

Waris kembali lagi mencari Mas...

“Maaas….” Suara yang telah menghantui hidup mereka sudah kembali. Kebimbangan Mas Suri tentang kebangkitan Waris akhirnya menjadi kenyataan dan dia perlu bertindak pantas untuk melindungi keturunannya daripada ancaman Waris.

Waris sambungan drama Kekasihku Seru

Pelakon drama Kekasihku Seru iaitu Kuza, Emelda Rosmila dan Rose Iskandar

Terbaru di slot Seram, drama bersiri 13 episod, WARIS terbitan Filmscape Sdn. Bhd. yang bakal menemui penonton TV3 pada 14 Jun 2012, setiap hari Khamis jam 10.00 malam merupakan sambungan drama Kekasihku Seru yang pernah popular satu ketika dulu. 

Mas Suri

WARIS merupakan buah tangan terbaru daripada pengarah berbakat besar, Kabir Bhatia dan garapan skrip oleh Mira Mustaffa, Tommy CT Loh dan Nik Naemah. Waris mengisahkan kehidupan Rashad dan Marisa selepas 10 tahun yang tenang bersama anak lelaki mereka Amar. Waris menjadi igauan ngeri bagi Marisa pada suatu ketika dulu kerana dia merupakan mangsa kepada Waris yang memerlukan seorang kekasih dari keturunan Mas Ayu untuk memastikan hayatnya berpanjangan. 

Marisa bersyukur kerana dapat memulakan kehidupan baru bersama suami tersayang dan anak lelakinya yang sangat ceria dan aktif. Kadang-kala dia akan berasa sedih apabila terkenangkan anak kembarnya yang sudah meninggal dunia pada hari kelahiran. 

Rashad dan Marisa telah membawa Amar bercuti di Terengganu. Dalam perjalanan, mereka terserempak dengan sebuah upacara pengebumian di mana seorang wanita telah dibunuh secara kejam dan meninggalkan anak perempuannya yang masih kecil, Sarah. 

Marisa menjadi panik apabila Amar hilang dari penglihatan mereka. Selepas dijumpai, Amar terkena sawan. Namun, doktor mengesahkan keadaan Amar normal selepas melakukan pelbagai ujian. Sejak itu, Amar berubah menjadi murung dan cepat marah. Buntu melihat perubahan anak mereka, Rashad dan Marisa telah membawanya pulang berjumpa dengan Mas Suri, Ibu kepada Marisa. 

Mas Suri mula berasa bimbang jika masalah yang sering membelenggu fikirannya selama ini telah menjadi nyata. Dia risau jika Waris telah bangkit semula. Mas Suri terpaksa membuka rahsia yang anak kembar perempuan Marisa masih hidup dan berada di bawah jagaan Rokiah. Mas Suri terpaksa memisahkannya daripada Marisa kerana dia tahu Waris akan kembali memburu anak perempuan keturunan mereka. Rokiah yang dipertanggungjawabkan menjaga anak perempuan itu telah menyerahkan anak tersebut kepada sepupunya kerana menganggapnya sebagai beban. 

Marisa seakan tidak percaya mendengar pengakuan Mas Suri. Tergamak Mas Suri melakukan perkara yang sama dia pernah lakukan pada Marisa. Mas Suri memohon maaf daripada Marisa kerana dia tiada pilihan lain bagi melindungi cucu perempuannya daripada ancaman Waris. Selama ini, Mas Suri sedar bahawa Mas Ayu tidak akan berputus asa dan dia akan menyeru semula Waris. 

Amar menjadi sasaran baru Waris yang terdesak untuk mencari Tuan baru kerana keadaan Mas Ayu yang terlalu lemah dan sedang nazak. Waris perlukan badan baru untuk berkuasa semula. Walaupun masih marah, Marisa perlukan bantuan Mas Suri untuk menjejaki anak perempuannya, Sarah yang kini dijaga oleh Aida dan suaminya, Fariz. 

Sarah membesar dalam keadaan yang daif tanpa belaian kasih sayang. Selepas ibu angkatnya meninggal dunia, Aida telah mempelawa Sarah untuk tinggal bersama. Tanpa disedari, Aida telah mengundang bahaya dalam kehidupannya. Sarah yang dipengaruhi oleh kuasa jahat telah memberi ancaman nyawa kepada ahli keluarga barunya. 

Sempatkah Mas Suri dan Marisa menjejaki Sarah sebelum Waris? Apakah muslihat Waris akan berjaya pada kali ini? Berjayakah Mas Suri membebaskan keturunannya daripada ancaman Waris buat selama-lamanya? 

Jangan ketinggalan untuk menonton WARIS bermula 14 Jun 2012, setiap hari Khamis jam 10.00 malam di TV3. 

Fizz Fairuz dan Emelda Rosmila 


Emelda Rosmila sebagai Marisa

Fizz Fairus sebagai Rashad

Hairi Othman sebagai Waris

Umie Aida sebagai Mas Suri

Kuza sebagai Mas Ayu




Coretan - Tak sabar lah nak tengok cerita Waris ni...Jangan lupa tengok setiap malam jumaat...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan