MIRI: Hospital Miri perlu mempunyai Unit Rawatan Kebakaran bagi menyediakan bantuan kecemasan khusus terhadap mangsa kebakaran.
Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Sebastian Ting berkata, setakat ini semua kes membabitkan kebakaran industri dirujuk ke Hospital Umum Sarawak di Kuching dan Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu.
“Miri yang merupakan pusat utama bagi industri minyak dan gas serta industri berat perlu memiliki Unit Rawatan Kebakaran agar kita tidak perlu bergantung kepada hospital di luar,” katanya kepada Utusan Borneo selepas melawat lima kakitangan pekerja luar pantai di Hospital Miri yang cedera selepas Pelantar Minyak Tukau milik Petronas Carigali, terbakar semalam.
Beliau berkata, antara syarikat minyak dan gas yang berpangkalan di Miri ialah Sarawak Shell Berhad, Petronas Carigali, Nippon Oil, Murphy Oil di samping syarikat-syarikat hiliran dan penyedia perkhidmatan untuk industri berkenaan.
“Saya dan Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong Siew Yu sudah berbincang mengenai cadangan untuk menu-buhkan unit tersebut di sini,” katanya.
Sementara itu, lima kakitangan pekerja luar pantai cedera selepas Pelantar Minyak Tukau milik Petronas Carigali terbakar.
Menurut sumber, kejadian dipercayai berpunca daripada kebakaran yang berlaku pada pemampat udara di bahagian operasi mencari gali minyak pada pelantar itu, pada jam 9.10 pagi semalam.
Beliau difahamkan bahawa tiga daripada pekerja yang tercedera ialah kakitangan syarikat kontraktor manakala dua lagi ialah kakitangan Petronas Carigali - Utusan Borneo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan