Isnin, 29 Oktober 2012

Budak Hingusan Jual ‘Banji’

Kegiatan jual keputusan nombor ramalan tarik minat kanak-kanak bawah umur di Sibu

SIBU: Kegiatan menjual keputusan nombor ramalan atau dalam bahasa tempa­tannya ‘banji’ mungkin tidak berapa aktif di tempat-tem­pat lain tetapi tidak di sini.

Pada hari keputusan nom­bor ramalan, setiap penjuru kota terutama di bahu-bahu jalan pasti ada sahaja individu yang cuba mendapatkan rezeki menerusi aktiviti ini.

Hasil tinjauan Utusan Bor­neo, kegiatan ini sudah mula menarik minat kanak-kanak bawah umur yang menjadikan kerja menjual nombor rama­lan sebagai ‘karier’ sampingan mereka.

Berusia lingkungan umur 9 hingga 15 tahun, kanak-kanak ini tanpa segan-silu melam­baikan tangan yang tersisip kertas keputusan nombor ramalan untuk menarik per­hatian pengguna jalan raya yang lalu-lalang.

“Mahu beli banji (keputu­san nombor ramalan) bang, 50 sen satu,” kata salah seorang kanak-kanak yang melaku­kan aktiviti ini berhampiran dengan Pasar Sentral Sibu, di sini kepada pemberita Utusan Borneo.

Di sini, rata-rata ‘banji’ dijual dengan harga 40 sen hingga RM1.00 sehelai.

Ketika ditanya mengenai persekolahan, kanak-kanak ini mengaku yang dirinya masih bersekolah di Tahun Empat di sebuah sekolah di sini.

Kelibat kanak-kanak ‘banji’ ini kebiasaannya akan ke­lihatan seawal jam 7 malam hingga 11 malam sama ada berkumpulan mahupun ber­sendirian.

Apa yang menghairankan, bagaimanakah kanak-kanak ini hendak bangun awal keesokan harinya untuk ke sekolah dan dapatkah mereka menumpukan perhatian se­masa berada di dalam kelas.

Mungkin kerana kos untuk membuat salinan fotoko­pi yang sangat murah dan hasil jualan yang lumayan menyebabkan kanak-kanak ini menjadi mata duitan.

Persoalannya, adakah ak­tiviti kanak-kanak ini betul atau salah dari segi undang-undang? Adakah kanak-kanak ini dieksploitasi oleh golongan tertentu demi mendapatkan keuntungan yang lumayan hasil daripada jualan keputu­san nombor ramalan ini?

Sementara itu, seorang lagi kanak-kanak di sini ketika ditanya mengenai aktivitinya memberitahu dia hendak me­nolong keluarganya.

“Kami orang susah, saya cuma mahu menolong mak saya,” katanya yang juga memberitahu ibunya berasal dari Serian.

Namun setelah ditanya dengan beberapa soalan, kanak-kanak itu bersikap kasar sehingga mencampa­kkan sesuatu dari atas jalan kepada pemberita dan terus melarikan diri.

Dari segi sosialnya, aktiviti ini dilihat mendatangkan lebih banyak keburukan kepada masyarakat keseluruhannya.

Selain memberi imej negatif kepada orang luar, penjualan ‘banji’ juga menyebabkan kesesakan lalu lintas apabila ada segelintir pengguna jalan raya memberhentikan kereta mereka dan mengambil masa untuk mengimbas keputusan.

Dari segi kekeluargaan dan masa depan anak-anak ini pula, ia dilihat sesuatu yang menjerumus kepada aktiviti yang kurang sihat yang boleh menggelapkan masa depan mereka. - UTUSAN BORNEO


Tiada ulasan:

Catat Ulasan