Seorang penduduk Rakhine cedera dalam keganasan dirawat di hospital
KYAUKTAW, Myanmar - Seramai 112 orang terbunuh dalam keganasan yang berlaku di negeri Rakhine, barat Myanmar sejak enam hari lalu yang melibatkan etnik Rohingya yang beragama Islam, kata seorang pegawai semalam.
Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu memberi amaran demokrasi yang berkembang di Myanmar akan terjejas ekoran pergolakan tersebut.
Pergolakan itu berlaku lima bulan selepas etnik Rohingya bergaduh dengan etnik Rakhine yang beragama Buddha mengakibatkan lebih 80 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 75,000 penduduk terpaksa berpindah.
Menurut beberapa etnik Rakhine kepada agensi berita Reuters, mereka ditembak oleh anggota-anggota pasukan keselamatan yang melaksanakan arahan ketenteraman awam di negeri tersebut.
Seorang pegawai penerangan di negeri itu, Win Myaing berkata, antara yang terbunuh itu ialah 61 orang wanita.
Menurut kenyataan Pejabat Presiden Myanmar, Thein Sein, kira-kira 2,000 buah rumah dan lapan bangunan keagamaan musnah pada Rabu lalu.
Keganasan itu berlaku pada Ahad lalu apabila sekumpulan etnik Rohingya melakukan tunjuk perasaan ekoran kekurangan bekalan makanan dan bantuan di kampung mereka.
Sebahagian etnik Rohingya didakwa membakar rumah di pekan Min Bya dan Mrauk Oo di utara Rakhine pada Isnin lalu menyebabkan berlaku pertempuran dengan penduduk beragama Buddha.
Bagaimanapun, seorang penduduk beragama Buddha, Tun Tun berkata, pekan Mrauk U kembali tenang selepas lebih ramai anggota keselamatan dihantar dari bandar Sittwe.
Pada Jun lalu, penduduk beragama Buddha di negeri Rakhine membunuh 10 orang etnik Rohingya yang menyebabkan berlakunya keganasan di negeri itu.
Keganasan itu tercetus selepas tiga penduduk beragama Islam didakwa merogol seorang wanita beragama Buddha. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan