Sabtu, 27 Oktober 2012

Tiga Lelaki Miliki Revolver Dan Peluru Beraya Di Lokap

Revolver yang dirampas daripada tiga lelaki yang ditahan

PETALING JAYA - Tiga lelaki terpaksa menyambut Hari Raya Aidiladha di lokap apabila mereka ditahan selepas polis menemui sepucuk pistol jenis revolver dalam serbuan di sebuah hotel di Dataran Mentari di sini kelmarin.

Dalam serbuan pada pukul 11.15 pagi itu, polis menahan seorang wanita warga Thailand berusia 21 tahun dipercayai teman wanita kepada salah seorang suspek terbabit.

Tiga suspek lelaki yang ditahan itu berusia 19 hingga 35 tahun. Ketika ditahan, keempat-empat suspek itu sedang tidur di dalam bilik hotel sama.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, turut dirampas bersama revolver itu ialah empat butir peluru. Difahamkan, senjata api itu disimpan di dalam almari di bilik hotel tersebut.

"Kita juga merampas sejumlah dadah jenis syabu dan pil eramin 5 serta alat menghisap dadah di dalam hotel berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati salah seorang suspek yang ditahan mempunyai dua rekod jenayah berkaitan kes dadah manakala seorang lagi dikehendaki polis," kata beliau pada sidang akhbar di sini.

Kesemua suspek masih ditahan bagi membantu siasatan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan