Sabtu, 27 Oktober 2012

Lelaki Mabuk Kencing, Muntah Dalam Bas


MIRI: Kehadiran seorang lelaki mabuk telah menimbulkan ketakutan dan ketidakselesaan kepada 25 penumpang sebuah bas ekspres di terminal bas Pujut Corner di sini yang hendak bertolak ke Kuching, malam kelmarin.

Apatah lagi, lelaki berusia awal 20-an itu turut berkelakuan tidak senonoh dengan kencing dan muntah di dalam bas ekspres berkenaan.

Terdahulu, menurut sumber, sejurus membeli tiket untuk perjalanan ke Sibu yang dijadualkan bertolak pada jam 8 malam, lelaki mabuk itu dilihat berjalan terhoyong-hayang sambil membawa beg dan terus masuk ke dalam bas berkenaan.

Ketika berada di dalam bas itu, lelaki terbabit terus kencing dan muntah di tempat duduknya hingga menimbulkan ketakutan dan ketidakselesaan kepada penumpang lain yang terlebih dahulu menaiki bas yang sama.

Bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku, beberapa penumpang bas telah memaklumkan kepada kakitangan syarikat bas berkenaan tentang kelakuan lelaki terbabit.

Salah seorang daripada kakitangan syarikat bas berkenaan kemudian menasihatkan lelaki terbabit supaya balik melihatkan keadaannya yang sedang mabuk. Meskipun pada mula menolak, namun akhirnya dia akur dan turun dari bas berkenaan.

Berikutan itu, perjalanan bas berkenaan terpaksa ditangguhkan selama 10 minit daripada yang dijadualkan memandangkan kakitangan bas terbabit terpaksa membersihkan kesan muntah dan kencingnya di dalam bas sebelum bertolak.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan