Selasa, 30 Oktober 2012

Lelaki Tidak Mengaku Simpan Kereta Curi


MIRI: Mahkamah Majistret petang semalam membebaskan seorang lelaki dengan ikat jamin RM1,500 berserta dua penjamin tempatan setelah mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menyimpan sebuah kereta curi.

Tang Chok Yew, 31, dari Lot 3470 Desa Pujut 2, Permyjaya di sini telah didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati dengan curang telah menyimpan harta curi iaitu sebuah kereta Proton Wira bernombor pendaftaran BEA4194, berwarna biru kepunyaan Kamarul Bahrin Md Kamil.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11 pagi, 20 Oktober lalu di hadapan The Ship Pub, Piasau Garden di sini.

Setelah mendengar pengakuan tidak salah tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 12 November ini untuk pengurusan kes dan 28 November sebagai tarikh perbicaraan. Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.

Dalam kes yang sama, dua lelaki masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret petang semalam terhadap tuduhan menguruskan kereta curi kepunyaan seorang lelaki lain.

Yeo Chee Ho, 29, dari Jalan Haji Lampan dan Liew Shann Kin, 26, dari Piasau Garden di sini didakwa mengikut Seksyen 413 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut kesalahan ini, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh didapati telah menguruskan harta curian iaitu sebuah kereta jenis Proton Wira bernombor pendaftaran BEA4194 (biru) kepunyaan Kamarul Baharin Md Kamil.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama pada jam 11 pagi, 20 Oktober lalu.

Terdahulu, pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk perbicaraan kes ini memandangkan ke dua-dua tertuduh telah mengaku tidak bersalah serta minta dibicara lanjut.

Majistret Lovely Natasha Charles membenarkan permohonan itu dan menetapkan 12 November ini untuk pengurusan kes, manakala perbicaraan ditetapkan pada 27 November ini.

Manakala kedua-dua tertuduh dibenarkan dibebas dengan ikat jamin masing-masing RM1,500 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan