Sabtu, 27 Oktober 2012

Andy Lau Bakal Gegar Golden Festival Siburan

Andy Lau

KUCHING: Artis popular Hong Kong, Andy Lau merupakan antara bintang popular selain artis tempatan yang akan membuat persembahan sempena 1Malaysia Golden Festival di Siburan.

Festival yang berlangsung dari 26 Oktober hingga 17 November diadakan untuk meraikan ulang tahun ketiga Pusat Komersial Golden Square.

Selain itu, festival juga diadakan bagi memupuk budaya sihat dan amalan rekreasi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di kawasan tersebut.

Pengerusi penganjur, Liu Thian Leong berkata, pelbagai persembahan akan memeriahkan festival tersebut, dari artis terkenal tempatan hinggalah antarabangsa.

“Kita bukan sahaja menjemput artis Cina tetapi turut merangkumi artis Iban popular memandangkan kawasan ini dihuni masyarakat berbilang kaum,” katanya pada sidang media semalam.

Menerusi festival tersebut, me-nurutnya, pihak penganjur akan mengumpul dana untuk disalurkan kepada institusi yang terdiri daripada Sekolah Chung Hua Siburan dan Gereja St Stephen Kampung Sungai Duuh.

Malah, katanya, pelbagai acara menarik seperti pertandingan nyanyian lagu Cina, Iban dan Melayu turut diadakan untuk menyerikan festival tersebut.

Pihak penganjur juga menyediakan gerai untuk disewa bagi mereka yang ingin menampilkan produk terutama kraf tangan, barangan rumah, pakaian, barangan elektrik, telekomunikasi dan automobil.

Timbalan Menteri Pelancongan yang juga Ahli Parlimen Mambong Datuk Dr James Dawos Mamit dijangka merasmikan festival tersebut pada hari ini, jam 9 pagi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan